Kymco XCiting VS 400 dilancar di Malaysia – RM27,988

Kymco XCiting VS 400 2026 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dengan harga ditetapkan pada RM27,988. Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran. Seperti model Kymco lain yang ditawarkan di Malaysia, XCiting VS 400 hadir dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.

Untuk pasaran tempatan, skuter maxi jenis sport-touring ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Flat Black dan Cerulean Blue. Stok dijangka mula berada di bilik pameran pengedar sah Modenas Kymco mulai Ogos ini.

XCiting VS 400 dikuasakan enjin satu silinder 400 cc penyejukan cecair dengan empat injap, yang menghasilkan kuasa maksimum 33.9 PS pada 7,250 rpm dan tork 37.5 Nm pada 5,750 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi CVT dan sistem pacuan tali sawat.

Kymco XCiting VS 400 dilancar di Malaysia – RM27,988

Untuk aspek keselamatan, XCiting VS 400 menerima kawalan cengkaman serta ABS dual-channel secara standard. Skuter ini turut dilengkapi penghadang angin boleh laras dalam lima tahap dan sistem operasi tanpa kunci. Tempat duduknya menggunakan rekaan dua tingkat, dengan pembonceng duduk pada posisi lebih tinggi berbanding penunggang. Ruang simpanan bawah tempat duduk pula berkapasiti 29 liter dan dilengkapi pencahayaan.

Dua ruang simpanan tambahan dengan fungsi kunci automatik turut disediakan di bahagian dalam panel hadapan. Ruang simpanan sebelah kiri juga mempunyai soket pengecas USB. Untuk sistem suspensi, bahagian hadapan menggunakan fork teleskopik, manakala suspensi belakang menggunakan dua penyerap hentak dengan pelarasan prabeban lima tahap.

Sistem brek pula terdiri daripada dua cakera hidraulik di hadapan dan satu cakera di belakang. XCiting VS 400 menggunakan rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, masing-masing dipadankan dengan tayar 120/70 dan 150/70. Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi skrin LCD, manakala sistem pencahayaan LED digunakan pada keseluruhan skuter.

Secara keseluruhan, XCiting VS 400 mencatat berat 213 kg dengan ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 805 mm. Tangki bahan apinya pula berkapasiti 12.5 liter.

Tags: