Moda Sporter S yang dilancarkan awal tahun lalu kini dipertingkat dengan versi terbaru, yang dipanggil sebagai SKII dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada harga RM17,998 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Porsch White dan Titan Blue, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Peningkatan utama bermula di bahagian kokpit, dengan skuter ini diberikan skrin TFT tujuh inci yang masih mempunyai fungsi sambungan kepada telefon seperti sebelum ini untuk memaparkan informasi termasuk navigasi, kawalan muzik dan pemerhati tekanan angin tayar.
Melalui skrin ini juga penunggang boleh melihat rakaman daripada kamera hadapan HD baru dan pilihan paparan boleh dibuat dengan kawalan sesentuh. Turut diberikan kini adalah penghadang angin boleh laras secara elektronik dan butang kawalan baru di bahagian pemegang.
Panel badan tidak berubah banyak tetapi model baru ini ditambah baik dengan winglet serta beberapa kemasan plastik lain yang mempunyai grafik seperti gentian karbon. Cermin sisi juga kini diubah dengan unit lebih sporty.
Bahagian suspensi masih menggunakan perkakasan yang sama, terdiri daripada fork USD di hadapan dan dua penyerap hentak dengan tabung di belakang. Walaubagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pengguna model sebelumnya, ia telah ditala semula.
Bahagian lain adalah sama seperti sebelum ini, termasuk enjin, yang menggunakan unit satu silinder SOHC suntikan bahan api bersama transmisi CVT tali sawat, mampu menghasilkan kuasa 24.8 hp pada 8,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 6,500 rpm.
Bahagian brek menggunakan set cakera berkembar di hadapan dan cakera tunggal di belakang, didatangkan bersama sistem ABS dual-channel, dan sistem keselamatan dibantu lagi dengan kawalan cengkaman.
Turut disediakan adalah tangki bahan api 13 liter, soket pengecas USB A dan C, dua poket barangan di bahagian bawah pemegang, ruang simpanan bawah tempat duduk, kunci pintar serta padanan rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang.

