Toyota mengesahkan bahawa semua unit kereta sport GR GT yang akan diperuntukan bagi pasaran Amerika Syarikat sudahpun habis dijual walaupun pelancarannya hanya akan dibuat pada tahun hadapan.
Perkara ini diberitahu oleh Naib Presiden Kanan Operasi Automotif Toyota, Andrew Gilleland kepada The Drive, dan beliau menyatakan bahawa pasaran Amerika Syarikat hanya diperuntukkan sekitar 200 hingga 250 unit GR GT selepas ia dilancarkan kelak.
Gilleland menyatakan bahawa GR GT memang dihasilkan dengan jumlah yang kurang dari permintaan kerana Toyota tidak mahu kereta ini dibeli oleh individu yang berniat untuk menjualnya semula bagi mendapatkan keuntungan – seperti scalper.
“Kami tidak akan ada unit yang cukup untuk memenuhi permintaan, dan ia memang dibuat seperti itu. Ia merupakan projek yang penuh semangat dan dibuat kerana Akio [Toyoda] mahukan kereta berprestasi tinggi bertaraf dunia. Kami tidak mahu menjual kereta kepada mereka yang mahu menjualnya semula, kami hanya mahu orang yang akan memandunya. Peruntukan kumpulan pertama dah pun habis dijual, kata Gilleland.
Menurut Gilleland seramai 150 pelanggan yang berpotensi duduk bersama wakil Toyota ketika berlangsungnya acara The Quail – iaitu acara permulaan ketika Monterey Car Week yang berlangsung bermula 7 Ogos lalu – bagi membuat pemilihan perincian terhadap GR GT yang mahu dibeli walaupun tempahan tidak diambil secara aktif.
GR-GT didedahkan pada Disember tahun lalu, dan ia bakal dijual menggunakan terus jenama Gazoo Racing (GR), tanpa sebarang lencana Toyota. Ia didedahkan bersama versi perlumbaan sebenar yang dihomologasikan dalam spesifikasi FIA GT3, membayangkan seolah-olah model produksi jalan raya tersebut wujud kerana Toyota mahu menghasilkan sebuah jentera lumba GT3 yang boleh digunakan dalam siri perlumbaan WEC (buat masa sekarang Toyota hanya mempunyai jentera kelas tertinggi Le mans Hypercar atau LMH), dan juga pelbagai perlumbaan GT lain di seluruh dunia di mana ia merupakan kelas yang sangat kompetitif.
Kereta sport ini tidak dibina berdasarkan platform kereta produksi biasa, dan buat pertama kali Toyota menggunakan kerangka space frame yang dihasilkan dari material aluminium sepenuhnya. Casis ini turut menampilkan suspensi jenis double wishbone untuk keempat-empat sudut, serta menampilkan lengan-lengan suspensi yang diperbuat dari aluminium forged, manakala badannya pula dibina dari panel-panel yang diperbuat dari karbon dan juga plastik bagi membolehkan ia mencapai berat yang disasarkan pada 1,750 kg. Untuk berhenti, GR GT ini datang dengan brek karbon seramik secara standard.
Ia digerakkan dengan enjin V8 4.0 liter yang disuap oleh dua pengecas turbo serta dibantu oleh sistem hibrid elektrik. Enjin tersebut direka dengan strok yang pendek dan juga konfigurasi turbo jenis “hot-V”, dan model produksi jalan raya ini juga sudah dilengkapi dengan sistem pelinciran menampilkan takung minyak enjin jenis dry-sump bagi membolehkan enjin diletakkan lebih rendah, secara tidak langsung merendahkan titik graviti keseluruhan kereta ini.
Enjin GR GT ini masih lagi terletak di hadapan, namun kotak gearnya berada pada gandar belakang di mana kedua-dua komponen ini digandingkan menerusi satu tiub tork yang diperbuat dari gentian karbon. Kotak gear lapan kelajuan automatik tersebut tidak mempunyai torque converter, sebaliknya tugas berkenaan digalas oleh set klac basah. Gandar belakang kereta ini turut dihuni oleh motor elektrik untuk sistem hibrid, dan tork antara roda belakang kiri dan kanan diagih menerusi unit LSD mekanikal.
Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa tersebut menghasilkan sekurang-kurangnya 650 PS dan tork 850 Nm, membolehkan GT ini mencapai kelajuan maksima 320 km/j. Dengan enjin V8 yang kompak, bahagian hud hadapan yang panjang pada kereta ini membolehkan ia diguna untuk meletakkan bateri hibrid, tangki bahan api dan pelbagai komponen lagi – hasilnya berat kereta ini dapat diagihkan 45% pada bahagian hadapan dan 55% pada bahagian belakang.
Toyota juga turut menyatakan bahawa rekaan pada GR GT ini lebih mengutamakan aspek aerodinamik, dan elemen ‘cantik’ berada di tangga kedua. Jadi penghasilan rekaan luaran kereta turut dibantu oleh jurutera-jurutera aerodinamik yang membangunkan kereta lumba Toyota yang bertanding dalam perlumbaan WEC.




Toyota GR Yaris
dari RM315,600
Toyota Yaris Cross
dari RM99,900
Toyota Hilux
dari RM226,300
Toyota Urban Cruiser
dari RM198,000
Toyota bZ4X
dari RM220,000
Toyota GR Corolla
dari RM368,950
Toyota Camry
dari RM221,800
Toyota Corolla Cross
dari RM133,800
Toyota Alphard
dari RM548,000