Jetour Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model edisi khas Jetour T2 Dark Warrior Limited Edition sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM167,600, atau RM10,800 lebih mahal dari versi biasa yang berharga RM156,800, dan hanya dihasilkan sebanyak 69 unit sahaja.
Dengan harga lebih mahal, model edisi terhad ini menerima perincian unik termasuk gril hadapan baharu yang nampak lebih lasak bersama tambahan rel pelindung di bawahnya, skrip ‘Jetour’ hadapan di alih pada muncung bonet, rel dan rak bumbung bersama tangga modular berada pada cermin sisi belakang sebelah kanan, serta plat penyangkut sisi pada bahagian cermin sisi belakang kiri.
Ia juga datang dengan angkup brek yang dilayangkan dengan warna merah, manakala warna badan hanya ditawarkan dengan satu pilihan iaitu hitam matte.
Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa, di mana ia masih dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 245 PS pada 5,500 rpm dan 375 Nm tork dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm, yang dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar.
Kuasa dialirkan menerusi sistem pacuan semua roda yang memberikan lapan mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand, Rock dan X-Mode iaitu mod yang mengaktifkan sistem AWD pintar XWD. Ia juga datang dengan Hill Hold Control, Kawalan Menurun Cerun dan mod Crawl Control yang membolehkan SUV ini ‘merangkak’ kerita meredah laluan off-road.
Kelengkapan kit juga masih sama dengan versi standard dengan diberikan lampu hadapan LED automatik, bumbung suria panaromik, paparan instrumen digital dengan skrin 10.3-inci, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan pengalir udara, sistem pendingin hawa dua zon, lampu suasana, skrin infotainmen 15.6-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta sistem bunyi Sony dengan 12-pembesar suara.
Untuk keselamatan pula ia dilengkapi dengan enam-beg udara, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan sistem pemantau tekanan angin tayar, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2 dengan fungsi termasuk amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan kawalan stereng, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan pelbagai lagi.
Setiap pembelian diberikan perlindungan waranti tujuh tahun atau 150,000 km, waranti unit rangkaian kuasa selama 10 tahun atau 1,000,000 km serta servis percuma termasuk alat ganti dan kos buruh sebanyak lima kali.



Jetour T2
dari RM156,800
Jetour T1
dari RM129,800
Jetour VT9
dari RM119,350
Jetour Dashing
dari RM106,800