Mula dipertontonkan pada bulan Jun lalu, Porsche Cayenne Electric kini telah dilancarkan secara rasmin di Malaysia. Ini selepas sembilan bulan model berkenaan tampil perdana di peringkat global pada November sebelumnya. Ini model elektrik sepenuhnya yang ketiga dikeluarkan oleh Porsche selepas Taycan dan Macan. Model SUV dari generasi keempatnya ini akan menjadi tambahan kepada versi petrol semasa, sebagai pilihan terbaru kepada pelanggan.
Cayenne Electric ditawarkan dalam varian Coupé standard dan lebih menawan, dengan harga bermula dari RM699,000 bagi varian paling asas, hinggalah kepada RM759,000 bagi Cayenne S dan RM969,999 bagi Cayenne Turbo yang menjadi penawaran paling tinggi. Bagi versi Coupé, ia dijual dengan harga RM749,000 bagi varian peringkat permulaan, RM805,000 untuk versi S dan RM999,999 untuk Turbo.
Dibangun menggunakan Premium Platform Electric (PPE) yang sama — dihasilkan bersama Audi — digunakan untuk Macan, Cayenne ini agak lebih besar berbanding sebelumnya. Bagi memuatkan ruang untuk bateri, jarak rodanya telah dipanjangkan kira-kira 128 mm berbanding model petrol, menjadi 3,023 mm.
Ini melibatkan pertambahan jarak sebanyak 55 mm bagi panjang keseluruhan model ini kepada 4,985 mm; ia juga tiga milimeter kurang lebar dengan 1,980 mm dan lima milimeter lebih rendah dengan 1,674 mm. Versi Coupé pula 24 mm lebih rendah dengan 1,650 mm — ini disebabkan oleh garis bumbungnya yang lebih rendah.
Cayenne elektrik ini ditawarkan dalam tiga varian, semuanya dengan pacuan semua roda dengan dwi-motor tetapi tanpa transmisi belakang dua kelajuan yang ada untuk Taycan. Varian paling asasnya menghasilkan sebanyak 408 PS (300 kW) dan 835 Nm, atau 442 PS (325 kW) dalam fungsi launch control — yang turut membolehkan kereta ini memecut dari 0- 100 km/j dalam 4.8 saat dan mencapai laju maksimum 230 km/j.
Cayenne S yang pertama kali diperkenalkan pada bulan Mac pula mampu menghasilkan sebanyak 544 PS (400 kW) dan tork yang banyak iaitu 1,080 Nm, meningkat sehingga 666 PS (490 kW) dengan launch control diaktifkan. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 3.8 saat, manakala kelajuan maksimum meningkat kepada 250 km/j.
Cayenne Turbo meletakkan prestasi ke tahap baru. Dalam mod standard, ia menghasilkan sebanyak 857 PS (650 kW) dan 1,500 Nm yang di luar kebiasaan; dengan launch control pula ia menghasilkan 1,156 PS (850 kW), melonjakkannya kepada 100 km/j dalam masa hanya 2.5 saat dan kepada 200 km/j dalam masa 7.4 saat. Laju maksimum dihadkan kepada 260 km/j, yang boleh dicapai dalam masa yang lebih singkat.
Dengan berat sekitar 2.6 tan, Cayenne didatangkan sebagai standard dengan ciri suspensi udara dengan peredam adaptif Porsche Active Suspension Management (PASM), serta brek regeneratif sehingga 600 kW — sama seperti kereta Formula E. Ciri Porsche Torque Vectoring (PTV) Plus, stereng roda belakang sehingga lima darjah dan brek seramik karbon ditawarkan dalam senarai pilihan.
Porsche Active Ride yang turut ditawarkan pada Panamera generasi ketiga juga ditawarkan sebagai pilihan. Ditawarkan buat kali pertama untuk model SUV, ia menggantikan fungsi palang anti-guling konvensional dengan peredam hidraulik untuk menghapuskan olengan badan dan juga kecondongan di selekoh seperti motosikal, tanpa mengorbankan keselesaan.
Cayenne turut dilengkapi dengan kebolehan untuk dipandu secara off-road. Suspensi udaranya mampu meningkatkan jarak tanah kepada 245 mm, dan terdapat juga pakej off-road dengan bampar hadapan yang berbeza bertujuan meningkatkan sudut mendekat. Satu kekurangan kecil model ini ialah kemampuan meredah air hanya 550 mm — ini agak rendah berbanding pesaing lain.
Walaupun hadir dengan prestasi yang mengkagumkan, Cayenne elektrik ini masih mampu memberikan jarak perjalanan yang baik, iaitu sehingga 642 km untuk varian asas, atau 652 km untuk S dan juga 624 km untuk versi Turbo. Ini dibolehkan kerena kapasiti bateri NMC yang digunakan adalah besar, dengan 113 kWh. Dan, disebabkan bentuk yang lebih aerodinamik, versi Coupé menawarkan jarak yang lebih jauh dengan 661 km untuk Cayenne, 669 km untuk Cayenne S dan 637 km untuk Cayenne Turbo.
Sama seperti EV Porsche yang lain, Cayenne menampilkan seni bina elektrik 800 volt, yang membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 390 kW (sehingga 400 kW dalam keadaan ideal) dan menambah tenaga dalam SoC 10% hingga 80% dalam masa kurang daripada 16 minit. Ia juga akan menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW (22 kW ditawarkan sebagai pilihan) dan merupakan EV pertama di dunia yang menampilkan pilihan pengecasan tanpa wayar, juga sehingga 11 kW.
Bagi aspek luaran, Cayenne kekal dengan penampilan sebuah Porsche, walaupun dengan reka bentuk yang sedikit bersegi dengan lampu hadapan LED matriks yang lebih ramping seperti Taycan dan Macan. Pandangan sisi dicirikan oleh rekaaan tingkap yang luas, manakala bahagian belakang diberikan rekaan yang agak sibuk dengan adanya jalur lampu belakang yang sangat lebar.
Kecekapan aerodinamik merupakan pertimbangan yang penting, membolehkan Cayenne menerima penutup gril dan spoiler belakang aktif, serta tirai udara hadapan, rekaan rim aero (yang berdiameter antara 20 hingga 22 inci), bahagian bawah badan yang rata sepenuhnya dan diffuser belakang yang besar — dengan bacaan drag coefficient serendah 0.25. Untuk model Turbo, ia mendapat bilah aktif tambahan yang menonjol keluar dari sudut bampar belakang.
Model Coupé pula mendapat “flyline” (garis bumbung) inspirasi daripada model 911 yang lebih ramping, yang juga lebih lebih panjang dan rata berbanding versi petrol, sekaligus memberikannya rupa yang sedikit seperti sedan. Ini telah menghasilkan pengurangan yang berguna bagi drag coefficient 0.23. Unit yang ditunjukkan ini juga hadir dengan ciri pintu kuasa yang pertama untuk model ini, yang akan ditawarkan sebagai pilihan kemudian.
Di dalam, Cayenne dilengkapi skrin penuh, dengan susunan visual yang mengagumkan yang terdiri daripada paparan instrumen OLED melengkung 14.25-inci dan paparan penumpang pilihan 14.9-inci. Perhatian utama tentunya tertumpu kepada Flow Display yang ada — skrin sentuh infotainment OLED yang menarik dengan selekoh mendatar untuk memisahkan kawasan paparan dan kawalan. Dengan tempat letak tangan ergonomik, ini memudahkan operasi bahagian bawah.
Cayenne masih mengekalkan penghawa dingin fizikal dan kawalan volume di hadapan tempat letak tangan tersebut. Terdapat juga augmented reality head-up display dengan saiz paparan 87-inci, kawalan suara diperkaya dengan AI, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar dan pad magnet untuk pengecas tanpa wayar Qi — yang terakhir ditempatkan di dalam ruang simpanan boleh laras yang besar dengan pemegang cawan boleh tanggal.
Praktikaliti adalah sebahagian besar daripada daya tarikan Cayenne, jadi penumpang belakang mendapat tempat duduk bersandar berkuasa dan pelarasan hadapan/belakang (hanya untuk penyandar pada Coupé), serta banyak ruang kaki tambahan hasil daripada jarak roda yang panjang. Butnya juga besar dengan kapasiti 781 liter untuk Cayenne dan 584 liter untuk Coupé, serta terdapat juga but hadapan 90 liter, yang boleh dibuka dengan meleret bahagian atas bampar.
GALERI: Porsche Cayenne Electric di Malaysia
GALERI: Porsche Cayenne Turbo Coupé Electric di Malaysia





Porsche Cayenne Electric
dari RM699,000
Porsche Cayenne Coupe Electric
dari RM749,000
Porsche Cayenne Coupe
dari RM739,000
Porsche Macan Electric
dari RM575,000
Porsche Panamera
dari RM1,300,000
Porsche Cayenne
dari RM609,000