Mazda CX-5 2027 disasar untuk dipasang di Malaysia (CKD) dengan 60% kandungan tempatan – MIDA

Mazda CX-5 generasi ketiga sudahpun disahkan bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada 8 Oktober 2026. SUV tersebut dijangka bakal diperkenalkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, dan akan disusuli dengan versi pemasangan tempatan (CKD) kira-kira 12 hingga 16 bulan selepas itu.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Mazda CX-5 generasi ketiga CKD ini kelak bukan hanya akan semata-mata dipasang Malaysia, malah ia disasarkan untuk mempunyai kandungan tempatan mencecah 60%, dan ia juga turut disasarkan untuk memperkasakan Malaysia sebagai pangkalan pengilangan serta eksport bagi Mazda.

Untuk itu, MIDA dan Bermaz Auto telah menghimpunkan 16 vendor automotif Malaysia menerusi program Pembangunan Vendor Startegik dan Rantaian Bekalan MIDA-Mazda, dengan lima Memorandum Persefahaman (MoU) telah bertukar tangan antara syarikat-syarikat dari Malaysia dan Jepun.

Mazda CX-5 2027 disasar untuk dipasang di Malaysia (CKD) dengan 60% kandungan tempatan – MIDA

Vendor-vendor yang terlibat tersebut merupakan syarikat-syarikat yang menghasilkan kompenen seperti casis dan suspensi, stamping, pemesinan jitu, acuan suntikan plastik, modul-modul kokpit, sistem tempat duduk, dan juga komponen-komponen penebat, kata MIDA.

Mazda CX-5 generasi baharu ini telah pun ditunjukkan kepada umum ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) pada Jun lalu. Tempahannya turut telah dibuka ketika itu dengan harga anggaran diumum bermula RM170,000.

Tiada sebarang perincian rasmi diumumkan oleh Bermaz berkenaan spesifikasi yang akan ditawarkan pada CX-5 generasi ketiga pasaran Malaysia ini, namun sebelum ini Pengerusi eksekutif Bermaz Auto Tan Sri Ben Yeoh ada mendedahkan bahawa hanya akan ditawarkan dengan 2.5 liter.

Jadi berkemungkinan model pasaran Malaysia kelak akan menerima e-Skyactiv G dengan sistem hibrid ringkas 24-volt berkuasa 141 PS/238 Nm, yang digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan automatik Skyactiv-Drive, memacu hanya roda hadapan.

Mazda CX-5 baharu ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sedia ada dengan menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm. Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya.

Untuk bahagian dalaman, tiada lagi suis-suis fizikal untuk kawalan suhu dan penghembus penghawa dingin serta kawalan audio, di mana semuanya telah dipindahkan ke skrin sesentuh gergasi dengan pilihan saiz 12.9-inci dan 15.6-inci yang diletakkan di tengah papan pemuka – unit yang ditunjuk di KLIMS sebelum ini menampilkan pilihan skrin paling besar bersama paparan instrumen 10.25-inci.

Konsol gear juga nampak lebih ringkas dengan hanya menampilkan suis untuk brek parkir elektronik serta fungsi auto hold, dan tiada lagi suis putar serta suis tekan Mazda Commander, serta tiada lagi suis pemilih mod pemanduan. Ia juga mempunyai pad pengecas telefon pintar tanpa wayar yang terletak di bawah perehat tangan.

GALERI: Mazda CX-5 generasi ketiga di KLIMS 2026

Tags: