Hyundai Motor Malaysia (HMY) hari ini mengumumkan bahawa harga bagi barisan model SUV segmen-C Hyundai Tucson telah pun disemak dan kini ia menampilkan harga yang lebih rendah. Tucson juga sudah mula dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) bermula suku kedua 2026, seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Menerusi harga baharu yang diumumkan berkenaan, Hyundai Tucson 1.6T Prime dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM159,800 atau RM5,088 lebih rendah dari sebelum ini, diikuti 1.6T Prestige AWD kini dijual pada harga RM179,800 atau RM7,088 lebih rendah dari sebelum ini, manakala varian tertinggi Prestige HEV pula berharga RM189,800 atau RM8,008 lebih rendah dari sebelumnya.
Walau bagaimanapun varian paling asas yang ditawarkan iaitu Style G2.0 MPi yang dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder NA dan dijual pada harga RM143,888 sebelum ini sudah pun tidak ditawarkan lagi.
“Kami ingin menjadikan Tucson lebih mudah diakses oleh pelanggan di Malaysia, sambil terus memberikan kualiti, keselamatan dan pengalaman pemilikan yang selaras dengan piawaian jenama global kami. Semakan harga ini mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan nilai yang lebih besar untuk pelanggan kami dan janji kami untuk sentiasa berada di sisi anda,” kata pengarah urusan HMY, Jahabarnisa Haja Mohideen.
Tiada sebarang perubahan spesifikasi diumumkan dengan harga yang lebih rendah ini. Model yang digerakkan oleh bahan api petrol sepenuhnya iaitu 1.6T Prime dan Prestige menerima enjin 1.6 liter empat silinder turbo berkuasa 180 PS dan tork maksima 265 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan. Bagi varian Prime, semua kuasa digunakan untuk memacu roda hadapan, manakala varian Prestige menerima tambahan sistem AWD.
Bagi model Prestige HEV pula, ia menerima unit rangkaian kuasa hibrid elektrik yang masih menampilkan enjin 1.6 liter turbo yang sama, digandingkan bersama motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 235 PS dan tork maksima 367 Nm, dan ia memacu sepenuhnya roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan.
Untuk perincian kelengkapan pula, Tucson Prime menerima lampu hadapan LED, rim aloi 18-inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa, upholsteri kulit, skrin sesentuh 12.3-inci untuk sistem infotainmen yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta pintu tailgate belakang bantuan kuasa.
Manakala varian 1.6T Prestige dan Prestige HEV pula menerima penambahan kelengkapan termasuk lampu hadapan LED jenis projektor matriks bersama fungsi lampu tinggi adaptif, rim aloi 19-inci, perapi papan pemuka balutan fabrik premium, pedal penukar gear pada stereng, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas dan liang pengudaraan, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci serta kamera 360 darjah.
Bagi sistem keselamatan pula, kesemua varian Hyundai Tucson pasaran Malaysia ini diberikan enam beg udara, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi pemanduan autonomi Tahap 2.
Hyundai Tucson Prime 2025
Hyundai Tucson 1.6T AWD Prestige
Hyundai Tucson 1.6T Hybrid Prestige HEV 2025


Hyundai Tucson
dari RM159,800
Hyundai Stargazer
dari RM99,800
Hyundai Ioniq 5 N
dari RM443,888
Hyundai Ioniq 6 N
dari RM449,888
Hyundai Santa Fe
dari RM225,000
Hyundai Staria
dari RM179,888