Hyundai Motor Malaysia (HMY) hari ini secara rasminya melancarkan MPV segmen-B dengan tiga-baris tempat duduk iaitu Hyundai Stargazer ke pasaran tempatan. MPV ditawarkan dalam dua versi tujuh tempat-duduk iaitu Style yang dijual pada harga RM99,800 dan Prime berharga RM109,800, serta satu varian enam-tempat duduk iaitu X dijual pada harga RM121,800.
Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. HMY turut menawarkan waranti selama lapan tahun atau 160,000 km untuk setiap pembelian, dan untuk 800 pembeli pertama, pelanggan akan menerima lapan kali servis (atau empat tahun) percuma. Bagi pemilik Hyundai sedia ada, HMY turut memberikan ganjaran All-Star bernilai RM1,000.
HMY turut mengumumkan program jaminan harga jualan balik untuk Stargazer ini, di mana untuk pelanggan yang mahu menjual semula MPV ini dan membeli model Hyundai lain kelak akan menerima harga jualan semula yang dijamin pada kadar 70% (sehingga 60,000 km) pada tahun ketiga, 60% (sehingga 80,000 km) pada tahun keempat dan 50% (sehingga 100,000 km) pada tahun kelima.
Menurut HMY lagi 300 unit terawal Stargazer pasaran Malaysia ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Indonesia, dan selepas ini ia akan dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia. Di sini, Stargazer bakal berhadapan terus dengan MPV segmen-B lain seperti Mitsubishi Xpander, Toyota Veloz dan Perodua Alza. Ia dihasilkan dengan dimensi 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm.
Seperti pesaing-pesaingnya yang lain, Stargazer digerakkan dengan enjin 1.5 liter Smartstream NA empat-silinder MPI yang menghasilkan kuasa 115 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 144 Nm pada takat 4,500 rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi Intelligent Variable Transmision (IVT) iaitu kotak gear CVT versi Hyundai dengan lapan-kelajuan maya yang memacu hanya roda hadapan.
Stargazer mula membuat kemnculan sulung pada 2022, manakala model pasaran Malaysia ini merupakan versi facelift dikenali sebagai Stargazer Cartenz di Indonesia yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2025. Ia tidak lagi menampilkan muka seperti ‘Abang besar’nya iaitu Staria, sebaliknya hadir dengan muka tersendiri menampilkan lampu hadapan yang lebih tebal, disekalikan bersama jalur lampu nyalaan siang yang memberikan grafik berbentuk huruf-H jika dihidupkan.
Varian asas Style diberikan brek belakang jenis dram, rim aloi 16-inci, gril hadapan berwarna hitam penuh, manakala varian Prime diberikan brek belakang jenis cakera, gril hadapan hitam-perak dan rim aloi 17-inci dalam kemasan Diamond Cut. Bagi varian X pula, ia turut hadir dengan rupa luaran ala-crossover, diberikan pelindung badan plastik pada semua perumah roda dan bahagian bawah bendul, bampar hadapan dan belakang yang nampak lebih lasak, diberikan rel bumbung dan juga rim aloi 17-inci dalam kemasan hitam berkilat.
Semua varian Hyundai Stargazer pasaran Malaysia ini ditawarkan dengan warna badan Titan Gray Metallic, Creamy White Pearl dan Midnight Black Pearl, namun hanya varian tertinggi X boleh dipilih dengan warna eksklusif Gravity Gold Matte.
Pada bahagian dalaman, papan pemuka Stargazer ini menampilkan panel skrin lebar yang merentangi bahagian pemandu sehingga ke bahagian tengah. Bagi varian asas Style, panel berkenaan menampilkan skrin LCD tujuh-segmen berwarna bersama paparan pelbagai informasi 4.2-inci di tengah untuk paparan instrumen digital, digandingkan dengan skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen. Varian paling asas ini juga hadir dengan tuil brek tangan manual.
Manakala bagi varian lebih tinggi Prime dan X, panel tersebut hadir dengan skrin berkembar masing-masing berukuran 10.25-inci untuk paparan instrumen digital dan juga sistem infotainmen. Kedua-duanya juga diberikan pad yang dibalut dengan kulit pada papan pemuka serta brek parking elektrik bersama fungsi auto-hold. Hanya varian X diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar.
Tak kira varian yang menerima penghawa dingin manual atau automatik, semua Stargazer pasaran Malaysia ini menerima suis-suis kawalan fizikal untuk melaras sistem berkenaan. Varian Style dan Prime turut diberikan tombol gear konvensional berbentuk-T, namun bagi varian X ia digantikan dengan pemilih gear putar shift-by-wire pada kolum stereng yang sama seperti Tucson dan Santa Fe baharu (memberikan lebih ruang storan pada konsol tengah) bersama pedal penukar gear pada roda stereng.
Untuk upholsteri pula, Style menerima balutan fabrik, Prime pula menerima gandingan fabrik dan kulit sintetik, manakala X diberikan balutan kulit sintetik sepenuhnya. Kesemua varian menerima penghembus pendingin hawa khas untuk kabin belakang lengkap dengan kawalan kipas tersendiri yang diletakkan pada bumbung.
Seperti yang disebut tadi hanya varian X ditawarkan dengan konfigurasi enam-tempat duduk di mana kerusi baris kedua dilengkapi dengan kerusi kapten. Terdapat meja yang boleh dilipat pada bahagian belakang tempat duduk paling hadapan untuk kegunaan penumpang di baris kedua, namun perincian ini hanya diberikan pada varian Prime dan X.
Hyundai mendakwa bahawa Stargazer menawarkan tempat duduk baris ketiga dengan ruang paling besar dalam kelasnya. dan boleh diakses menerusi suis sekali tekan pada tempat duduk baris kedua. Dengan semua tempat duduk ditegakkan, MPV ini mempunyai ruang kargo berkapasiti hanya 182 liter di belakang. Ia boleh dibesarkan sehingga 1,892 liter sekiranya tempat duduk baris ketiga dan kedua dilipat sepenuhnya.
Untuk keselamatan, varian asas Style hanya diberikan dua beg udara, manakala Prime dan X datang dengan enam-beg udara. Dua varian paling tinggi ini juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh Hyundai SmartSense yang merangkumi fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go (cruise control biasa diberikan pada Style), bantuan kekal tengah lorong, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran pergerakan kenderaan hadapan, pemantau tumpuan pemandu, amaran buka pintu dan juga lampu tinggi automatik.
Kesemua varian Stargazer pasaran Malaysia ini tidak diberikan tayar gantian, tetapi digantikan dengan kit pembaikan tayar. Manakala bagi varian Prime dan X ia ditambah dengan sistem pemantau tekanan udara tayar (TPMS).
GALERI: Hyundai Stargazer Style 2026
GALERI: Hyundai Stargazer Prime 2026
GALERI: Hyundai Stargazer X 2026
GALERI: Brosur rasmi Hyundai Stargazer 2026 pasaran Malaysia
GALERI: Gambar rasmi Hyundai Stargazer 2026 pasaran Malaysia









Hyundai Stargazer
dari RM99,800
Hyundai Ioniq 5 N
dari RM443,888
Hyundai Ioniq 6 N
dari RM449,888
Hyundai Santa Fe
dari RM225,000
Hyundai Tucson
dari RM159,800
Hyundai Staria
dari RM179,888