iCaur 03 RWD CKD kini di Malaysia – spesifikasi sama, RM119,740, 184 PS/220 Nm, sekitar 355 km WLTP

iCaur 03 2WD CBU

Mei lalu iCaur Auto Malaysia telah pun melancarkan versi pemasangan tempatan (CKD) untuk iCaur 03, namun ketika itu ia hanya ditawarkan dalam varian iWD. Dan seperti dijanjikan, varian asas pacuan roda belakang untuk versi CKD bukanlah digugurkan terus, tetapi hanya akan muncul sedikit lambat – dan ini dia, iCaur Auto Malaysia sudah pun mengumumkan bahawa produksi 03 RWD CKD ini sudah pun bermula dan kumpulan pertama akan mula dihantar kepada pelanggan bermula Oktober ini.

iCaur 03 RWD ini dijual pada harga atas jalan RM119,740, atau RM160 lebih murah dari versi yang diimport sepenuhnya (CBU). Setiap pembelian model ini diberikan waranti selama tujuh-tahun/150,000 km untuk kenderaan; waranti lapan-tahun/160,000 km untuk bateri dan komponen elektrik dan unit pacuan; dan gantian bateri jika kapasitinya turun lebih rendah dari 70% dalam tempoh waranti lapan-tahun tersebut.

Spesifikasi elektrikal dan mekanikal bagi versi CKD ini masih lagi sama seperti versi CBU sebelum ini. Ia menerima motor elektrik tunggal yang terletak di gandar belakang untuk memacu roda belakang berkuasa 184 PS (135 kW) dan tork maksima 220 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 150 km/j. Motor berkenaan menerima bekalan kuasa daripada bateri LFP 65.7 kWj, dan memberikan jarak perjalanan sehingga 426 km NEDC (sekitar 355 km WLTP).

iCaur 03 RWD CKD kini di Malaysia – spesifikasi sama, RM119,740, 184 PS/220 Nm, sekitar 355 km WLTP

iCaur 03 2WD CBU

Untuk menegcas, iCaur 03 ini boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 80kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit. Pengecas AC pula boleh menerima sehingga 6.6 kW, manakala untuk fungsi vehicle-to-load (V2L), cas bateri boleh dikeluarkan semula untuk mengoperasikan peralatan elektrik lain sehingga 3.2 kW.

Spesifikasi bagi versi CKD ini masih nampak sama seperti CBU. Ia diberikan lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang semuanya LED, rel bumbung, pintu belakang dengan engsel sisi dan diberi ruang storan belakang yang nampak seperti perumah tayar gantian, rim aloi 18-inci, serta sistem masuk tanpa kunci bersama kunci automatik berdasarkan jarak, serta diberikan kad kunci NFC.

Ia turut diberikan butang penghidup, corong pendingin hawa kabin belakang, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, fungsi baring dengan suis satu sentuhan (tanpa fungsi pengurut), pengalir udara tempat duduk hadapan dan belakang, upholsteri kulit sintetik, bumbung suria panaromik, lampu suasana, paparan instrumen 9.2-inci, skrin infotainmen 15.6-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar 50 watt, sistem bunyi Bose dengan lapan-pembesar suara, serta kamera 360 darjah dengan fungsi paparan lantai lutsinar.

iCaur Malaysia tidak menyertakan gambar sebenar unit CKD ini, sebaliknya hanya memberikan gambar versi CBU. Namun kami jangkakan versi CKD ini menerima sedikit perubahan termasuk tayar Chaoyang yang ditukar kepada tayar Giti, serta tiada lagi nombor casis (VIN) dipaparkan pada cermin hadapan – sama seperti varian iWD CKD sebelum ini.

Untuk keselamatan pula, iCaur 03 CKD ini datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju Tahap 2 yang menawarkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, pengekal lorong kecemasan, amaran keluar lorong, pengelak keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang cruise control adaptif dengan bantuan kesesakan trafik, pemantau titik buta dan amaran buka pintu.

Dengan tambahan bayaran RM20,000, anda turut boleh menjadikan 03 RWD anda sebagai Black Phantom Edition yang diberikan kit badan bersama overfender pada perumah roda, warna badan hitam matte, rak bumbung dan juga tangga sisi badan bagi memberikan rupa sebuah kenderaan off-road yang lebih lasak.

GALERI: iCaur 03 2WD CBU

Tags: