Boon Siew Honda kini Honda ADV160 Trico Edition untuk pasaran Malaysia, dengan harga RM14,149 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Menampilkan kombinasi warna merah, putih dan biru yang sinonim dengan jentera perlumbaan Honda, model edisi khas ini ditawarkan pada harga RM500 lebih tinggi berbanding ADV160 RoadSync standard (RM13,649) dan pembeli juga akan menerima fon telinga JBL serta balaclava Motowolf.
Selain Trico Edition, Honda turut menawarkan ADV160 dalam kemasan Matte Grey dan Brown, manakala satu lagi edisi khas iaitu ADV160 Spiderman Edition turut dijual pada harga RM14,149. Dari segi asasnya, Trico Edition dibangunkan berasaskan ADV160 RoadSync dan tidak menerima sebarang perubahan mekanikal, dengan spesifikasi serta kelengkapan yang sama seperti model standard.
Kuasa untuk skuter ini datang daripada enjin satu silinder eSP+ berkapasiti 156.9 cc penyejukan cecair dan menggunakan konfigurasi empat injap. Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 16 PS pada 8,500 rpm serta tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm. Sistem suntikan bahan api PGM-FI digunakan, manakala kuasa dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik V-Matic.
Seperti model sedia ada, ADV160 Trico Edition turut dilengkapi sistem Idling Stop System yang membantu mengurangkan penggunaan bahan api ketika berhenti. Sistem berkenaan akan mematikan enjin secara automatik ketika motosikal tidak bergerak dan menghidupkannya semula apabila penunggang memulas pendikit, menjadikannya lebih praktikal terutama ketika digunakan dalam keadaan trafik sesak.
Untuk bahagian casis, ADV160 menggunakan roda bersaiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, masing-masing dibalut tayar 110/80 dan 130/70. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan serta sepasang penyerap hentak Showa di belakang yang dilengkapi tabung. Sistem brek menggunakan cakera hidraulik pada kedua-dua roda, dengan ABS disediakan pada roda hadapan.
ADV160 Trico Edition mempunyai ketinggian tempat duduk 780 mm, manakala jarak kelegaan tanah ditetapkan pada 165 mm. Jarak antara roda pula berukuran 1,324 mm dan berat keseluruhan ialah 133 kg. Tangki bahan api mempunyai kapasiti 8.1 liter, menjadikan skuter ini sesuai untuk kegunaan harian selain perjalanan yang lebih jauh.
Dari segi kelengkapan elektronik, model ini menerima panel instrumen TFT berwarna berukuran 5 inci yang turut menyokong sambungan telefon pintar melalui Honda RoadSync. Ciri tersebut membolehkan penunggang mengakses fungsi berkaitan telefon pintar secara lebih mudah ketika menunggang, melengkapkan pakej teknologi yang ditawarkan pada ADV160 Trico Edition.
Antara kelengkapan lain yang disediakan termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC), kunci pintar dan sistem pencahayaan LED penuh. Skuter ini turut mempunyai soket pengecas USB Type-C serta Emergency Stop Signal (ESS), manakala ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 30 liter membolehkan barangan harian seperti topi keledar dan kelengkapan lain disimpan dengan lebih mudah.



