Aveta Nova 250 G Elite Edition dilancar di Malaysia – terhad 128 unit, kemasan khas, harga RM14,888

Aveta Malaysia memperkenalkan keluaran khas untuk model Nova 250 pasaran Malaysia, dipanggil sebagai Nova 250 G Elite Edition. Model yang akan dijual hanya 128 unit ini ditawarkan pada harga RM14,888 tidak termasuk insurans, iaitu hanya RM500 lebih tinggi berbanding Nova 250 biasa yang sudah berada di pasaran sejak Oktober tahun lepas.

Menjadikan model ini istimewa adalah penggunaan skema warna eksklusif, iaitu badan berwarna kelabu bersama pelekat hiasan dan rim yang berwarna oren, serta lencana nombor keluaran yang dilekatkan pada bahagian panel tepi skuter. Pada bahagian meter, ia boleh memaparkan grafik khas menandakan ini adalah G Elite Edition.

Bahagian lain adalah sama seperti Nova 250 standard, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder penyejukan cecair SOHC 244.3 cc, dipadankan bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 25.5 hp pada 8,250 rpm dan tork 23 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini antaranya menggunakan sistem suntikan bahan api daripada Bosch dan mempunyai nisbah mampatan 11.5:1.

Menghubungkan skuter ini kepada jalan adalah rim 14 inci dengan tayar 120/70 di hadapan, dan 13 inci dengan tayar 130/70 di belakang, dan ia masing-masing dipegang oleh fork teleskopik serta dua penyerap hentak gas.

Tugas penghentian pula dijalankan oleh tetapan cakera tunggal dengan angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal dengan angkup dua piston di belakang, bersama sistem ABS dual-channel. Turut membantu sistem keselamatan adalah kawalan cengkaman.

Nova 250 juga datang dengan pelbagai kelengkapan moden termasuk lampu LED, sistem kunci pintar, pemerhati tekanan angin tayar, soket pengecas USB-C, perakam video hadapan serta panel meter TFT-LCD tujuh inci dengan fungsi screen mirroring. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter.

Tags: