Peugeot menghidupkan semula nama RCZ menerusi pengenalan konsep RCZ Vision, sebuah coupe yang mengetengahkan bahasa reka bentuk baru jenama dari Perancis itu. Model konsep ini dibangunkan berasaskan platform STLA One dan dilengkapi teknologi bateri solid-state serta seni bina elektrik 1,000 volt.
Dari aspek prestasi, rangkaian kuasa RCZ Vision dikatakan mampu menghasilkan kuasa sehingga 500 hp, dengan jarak pemanduan mencecah 600 km bagi sekali cas. Peugeot turut mendakwa model ini mencatatkan penggunaan tenaga serendah 11.5 kWh bagi setiap 100 km, manakala bateri keadaan pepejalnya boleh dicas daripada 10% hingga 80% dalam masa hanya 10 minit.
RCZ Vision juga menjadi model pertama yang memperlihatkan hala tuju reka bentuk baru Peugeot, dikenali sebagai Feline Future. Pendekatan ini akan menjadi asas kepada reka bentuk model-model Peugeot pada masa hadapan, dengan RCZ Vision berperanan sebagai gambaran awal tentang bagaimana identiti visual jenama itu bakal berkembang.
Menurut laporan Autocar, RCZ Vision mempunyai panjang 4.65 meter, lebar 1.94 meter dan tinggi hanya 1.35 meter. Ia menggunakan rim aloi aluminium forged 21 inci di hadapan dan 22 inci di belakang, sekaligus menyerlahkan profil rendah serta penampilan sporty sebuah coupe moden.
Berbeza dengan RCZ terdahulu yang menggunakan susun atur tempat duduk 2+2, RCZ Vision direka sebagai sebuah coupe empat tempat duduk sebenar. Peugeot menyasarkan ruang yang cukup selesa untuk dua penumpang dewasa di barisan belakang, manakala reka bentuk bumbung berkembar yang menjadi identiti RCZ sebelum ini turut diolah semula bagi menyediakan lebih banyak ruang kepala dan membenarkan cahaya masuk ke dalam kabin.
Ruang dalaman turut dioptimumkan menerusi penggunaan pek bateri setebal hanya 110 mm. Reka bentuk bateri yang nipis ini membolehkan lantai kabin dikekalkan rendah tanpa menjejaskan profail badan kereta yang rendah. Peugeot turut memberi penekanan terhadap aspek praktikal dan kemudahan penggunaan bagi memastikan RCZ Vision mempunyai potensi lebih besar untuk dibangunkan sebagai model produksi.
Pengarah reka bentuk Peugeot, Matthias Hossann berkata aspek kebolehgunaan dan perkadaran yang realistik menjadi antara keutamaan ketika membangunkan konsep ini. “Ini merupakan perkara penting dalam arahan yang saya berikan. Saya meminta pasukan saya untuk menghasilkan reka bentuk yang kelihatan agak realistik dari segi perkadaran dan saiz, supaya kereta ini lebih mudah diterima. Ia bukan sekadar mereka bentuk sesuatu seperti UFO atau sesuatu yang terlalu futuristik,” katanya kepada Autocar.
Di bahagian kabin, RCZ Vision menggunakan stereng berbentuk segi empat yang dinamakan Hypersquare, seperti yang pernah diperkenalkan menerusi konsep Polygon. Sistem kawalan ini dijangka turut digunakan pada Peugeot e-208 generasi akan datang. Empat gelang kawalan pada Hypersquare membolehkan pemandu mengakses fungsi utama dengan mudah tanpa perlu mengalihkan tangan daripada stereng.
Sistem paparan pula menggunakan teknologi skrin lutsinar yang membolehkan maklumat dipaparkan mengikut konfigurasi pilihan pemandu. Menurut Peugeot, paparan di bahagian tengah juga boleh dimatikan sepenuhnya apabila tidak diperlukan, sekaligus menghasilkan penampilan kabin yang lebih kemas. Gabungan paparan lutsinar dan Hypersquare ini bertujuan memudahkan kawalan sambil mengurangkan gangguan terhadap pemandu.
RCZ Vision turut menjadi platform demonstrasi bagi teknologi kawalan elektronik X-by-wire Peugeot, termasuk sistem stereng steer-by-wire yang tidak menggunakan sambungan mekanikal fizikal antara stereng dengan roda hadapan. Teknologi ini membolehkan nisbah stereng berubah mengikut kelajuan, dengan tindak balas lebih pantas ketika bergerak perlahan serta kawalan yang lebih stabil pada kelajuan tinggi.
Pendekatan X-by-wire turut digunakan pada sistem brek RCZ Vision, yang menurut Peugeot mampu menawarkan kawalan membrek lebih tepat serta integrasi lebih lancar dengan sistem brek regeneratif. Bagi teknologi bantuan pemanduan, model konsep ini dilengkapi sistem pemanduan automatik Tahap 2++ seperti yang dinyatakan oleh Peugeot, sekaligus memperlihatkan potensi gabungan teknologi elektrik, kawalan elektronik dan sistem bantuan pemandu dalam model masa hadapan jenama itu.


Peugeot 408
dari RM146,055
Peugeot Landtrek
dari RM120,072
Peugeot 2008
dari RM134,103
Peugeot 3008
dari RM169,388
Peugeot 5008
dari RM186,288