Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memaklumkan bahawa sebahagian laluan di Jalan Magazine di Pulau Pinang akan ditutup secara berkala selama 131 hari iaitu bermula 10 pagi esok (14 Okt 2026) hingga 5 pagi pada 21 Feb 2027. Ia adalah bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Menurut syarikat terbabit, penutupan ini membabitkan laluan susur keluar dari Lebuh McNair berhampiran 1st Avenue Mall menuju ke Jalan Magazine hingga di hadapan Hotel Jen menghala ke Komtar. Manakala laluan lain kekal dibuka untuk kegunaan trafik.
Selain itu, MRT Corp turut memaklumkan penutupan laluan berkenaan juga bagi membolehkan kerja pelebaran jalan dan pengalihan utiliti dilaksanakan di lokasi terlibat.
Sehubungan dengan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan itu dan papan tanda, kon trafik serta pengawal bendera akan ditempatkan di lokasi bagi membantu melancarkan kawalan trafik dan memastikan keselamatan pengguna.
Dengan panjang jejambat 29.67 kilometer dan 22 stesen strategik, LRT Laluan Mutiara menghubungkan kawasan utama di Pulau Pinang dan tanah besar, sekali gus meningkatkan kebolehcapaian serta mengurangkan kesesakan jalan raya. Jajaran utama menghubungkan Pulau Reclamation Selatan A (PSR-A), Penang Sentral, dan Stesen Komtar di George Town, bagi memastikan liputan yang menyeluruh.


