smart #2 buat kemunculan sulung – kelahiran semula smart fortwo, kini EV, 82 PS, jarak gerak 290 km WLTP

smart #2

Jenama subsidiari Mercedes-Benz yang menghasilkan kereta-kereta kompak iaitu smart telah ‘lahir semula’ pada 2019 selepas pembangunan jenama tersebut diambil alih oleh Geely. Namun model pertama yang dihasilkan oleh usahasama itu iaitu smart #1 langsung tidak melambangkan model ikonik smart sebelum itu iaitu smart fortwo.

Namun selepas pengenalan model lain seperti smart #3 dan smart #5, kini tiba masanya legasi smart fortwo dihidupkan kembali – ini dia smart #2 membuat kemunculan sulung ketika berlangsungnya Paris Motor Show tahun ini, iaitu acara yang sama model generasi pertama smart fortwo didedahkan 28-tahun yang lalu!

Seperti yang anda boleh lihat, smart #2 ini benar-benar kembali kepada asas smart fortwo iaitu kereta kecil bandar yang hanya boleh memuatkan dua orang dewasa termasuk pemandu. Namun seperti model-model generasi baharu smart yang lain, ia kini hanya digerakkan oleh motor elektrik sepenuhnya (EV), tanpa enjin pembakaran dalaman.

smart #2 buat kemunculan sulung – kelahiran semula smart fortwo, kini EV, 82 PS, jarak gerak 290 km WLTP

smart #2

smart #2 ini dihasilkan dengan panjang keseluruhan 2,746 mm, lebar 1,760 mm dan tinggi 1,555 mm – untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Perodua Kancil dihasilkan dengan panjang 3,396 mm, lebar 1,395 mm dan tinggi 1,415 mm. Jadi smart #2 sememangnya sangat kecil bukan? Namun untuk pengetahuan anda smart #2 ini sebenarnya adalah sekitar 250 mm lebih panjang dan 250 mm lebih lebar berbanding model generasi terakhir smart fortwo.

Walaupun sudah sedikit ‘membesar’, smart #2 ini dipastikan masih mudah untuk ‘menyelit’ pada laluan-laluan sempit di dalam bandar, dengan radius pusingan hanya 6.95 meter serta dilengkapi kamera 360 darjah.

Tidak seperti model-model smart generasi baharu lain yang menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA), smart #2 ini diasaskan dari platform khas Electric Compact Architecture (ECA). Ia hanya menerima satu motor elektrik tunggal berkuasa 82 PS (62 kW) dan menghasilkan tork 130 Nm, di mana motor elektrik ini diletakkan pada bahagian belakang dan memacu roda belakang. Kuasa yang dibekalkan untuk smart #2 ini adalah sama seperti varian EV bagi model generasi terakhir smart fortwo iaitu smart EQ fortwo, namun tork pada #2 ini adalah 30 Nm lebih rendah.

Untuk menggerakkan motor berkenaan, smart #2 dibekalkan dengan bateri LFP berkapasiti 35.8 kWj, membolehkan ia di sasarkan untuk boleh bergerak sejauh 290 km dalam kitaran ujian WLTP, atau sekali ganda lebih jauh dari jarak gerak smart EQ fortwo sebeblum ini.

Bateri berkenaan boleh dicas semula dengan pengecas pantas DC sehingga 65 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa tidak sampai 20 minit. Ia juga boleh menggunakan pengecas AC biasa sehingga 11 kW, membolehkan cas bateri dipenuhkan dalam masa tiga jam berbanding lima jam sekiranya menggunakan pengecas AC 7.4 kW.

Sekali tengok smart #2 ini masih menampilkan muka yang garang seperti fortwo sebelum ini. Ia menampilkan rekaan lampu hadapan yang tajam bersama gril hadapan besar seperti mulut yang diapit dua tirai udara menegak di setiap sisi bampar hadapan.

smart #2 buat kemunculan sulung – kelahiran semula smart fortwo, kini EV, 82 PS, jarak gerak 290 km WLTP

smart #2

Sisi badan kereta kecil ini didominasi oleh pintu yang besar dan direka tanpa bingkai tingkap. Manakala tiang belakang pula direka bagi memberikan kesan seakan bumbung kereta ini terapung. smart turut memberikan pilihan tema warna dua tona untuk #2.

Di belakang, ia diberikan sepasang lampu dengan rekaan hampir bulat, bersama bampar yang sangat ringkas. Nampak macam tiada pengelap cermin di belakang bukan? Pengelap cermin belakang smart #2 ini sebenarnya disorokkan pada spoiler yang berada di atas. Rupa kereta kecil ini dilengkapkan dengan set roda yang agak besar untuk saiznya iaitu pilihan diameter 15- dan 16-inci, melengkapkan rupa ‘nakal’ hatchback mini dua-pintu ini.

Model generasi baharu ini masih lagi menerapkan rekaan sel keselamatan Tridion bagi memastikan kabin yang ‘kebal’ ketika berhadapan dengan kemalangan, dan ia kini digelar sebagai Tridion Cell Evo. But belakang juga kekal boleh dibuka berasingan antara cermin dan pintu tailgate, dan ia menawarkan ruang but kargo sebesar 305 liter.

smart #2 buat kemunculan sulung – kelahiran semula smart fortwo, kini EV, 82 PS, jarak gerak 290 km WLTP

smart turut menawarkan #2 ini dalam versi edisi terhad Couture Edition, di mana ia dilengkapkan bersama kit badan, serlahan-serlahan emas, warna badan White Matte, gril kemasan monogram bersama ‘tali kulit’ yang memberikan rupa seakan model konsep Concept #2 yang telah didedahkan awal tahun ini.

Pada bahagian dalaman, smart #2 ini juga menerima papan pemuka berbentuk-S yang diinspirasikan dari papan pemuka smart fortwo sebelumnya bersama liang penghembus pendingin hawa berbentuk turbin ala-Mercedes-Benz, dan juga cagak 1/4-inci untuk memasang pelbagai aksesori. Dengan badan yang lebih lebar, kedua-dua tempat duduk smart #2 tidak perlu lagi direka dengan salah satunya lebih ke hadapan seperti fortwo, dan ia kini boleh diletakkan bersebelahan secara selari.

Malah smart #2 ini juga tidak diberikan konsol tengah antara tempat duduk, sebaliknya diberikan ‘penyambung’ (masih lengkap dengan pemegang cawan dan ruang storan bertutup) serta perehat tangan yang boleh diangkat, membolehkan tempat duduk hadapan berkenaan bersambung seperti tempat duduk jenis bench.

Selain itu, ia juga diberikan paparan instrumen dengan skrin nipis 8.8-inci, skrin infotainmen tengah 10.1-inci yang dihubungkan kepada sistem bunyi Sennheiser dengan tujuh-pembesar suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar, tempat duduk pemandu larasan kuasa dan juga bumbung kaca panaromik yang ditawarkan sebagai opsyen. Juga terdapat satu tali pada tempat duduk penumpang yang boleh anda gunakan untuk memastikan barang yang diletak pada bahagian tersebut tidak terjatuh.

Untuk pasaran Eropah, smart #2 ini datang standard dengan fungsi pemanduan autonomi Tahap 2 Pilot Assist, manakala fungsi pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang pula ditawarkan sebagai ciri opsyen. Di Jerman, ia dijual pada harga bermula €19,990 (RM91,200) untuk model paling asas sehingga €25,690 (RM117,200) untuk versi edisi terhad Couture Edition.

Tags: