MG ZS akan dilancarkan di Malaysia akhir Oktober ini – CKD, 1.5 Turbo dan Hybrid, anggaran RM105k-RM115k

SAIC Motor Malaysia telah mengumumkan bahawa ia akan melancarkan MG ZS generasi kedua dalam versi pemasangan tempatan (CKD) pada akhir Oktober ini. Model berkenaan sebelum ini telahpun dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung pada Jun lalu.

SUV ini diumumkan akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 Turbo dan Hybrid+, di mana syarikat berkenaan terlebih dahulu membuka tempahan bagi varian hibrid. Manakala hari ini SAIC Motor Malaysia mengumumkan anggaran harga jualan bagi SUV ini akan bermula RM105,000 bagi varian Turbo dan RM115,000 bagi varian Hybrid+ (harga Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans)

Syarikat itu juga mengumumkan promosi sempena pelancaran MG ZS CKD ini, di mana 1,000 pelanggan terawal yang membuat tempahan bakal menikmati ganjaran eksklusif bernilai RM3,000 serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun. Model ini ditawarkan dengan empat pilihan warna badan termasuk Flare Red, Silver, Andes Grey dan York White, manakala untuk kabin hanya disediakan dalam warna hitam.

MG ZS akan dilancarkan di Malaysia akhir Oktober ini – CKD, 1.5 Turbo dan Hybrid, anggaran RM105k-RM115k

“Melihat sambutan hangat ketika pertunjukan di KLIMS 2026, kami amat teruja untuk melancarkan MG ZS serba baharu ini secara rasmi di Malaysia. Dibangunkan mengikut selera dan keperluan pengguna tempatan, MG ZS Hybrid+ menampilkan rangkaian kuasa hibrid khusus serta Transmisi Hibrid 3-Kelajuan yang bergandingan untuk mengekalkan prestasi pada tahap optimum, mengurangkan pembaziran tenaga, di samping menyampaikan pemanduan yang amat mulus dan responsif. Gabungan teknologi ini menawarkan pakej menarik yang menyatukan prestasi, kecekapan serta nilai keseluruhan yang luar biasa,“ kata Emory Qi, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia.

MG ZS generasi terbaharu dalam versi CKD ini akan dipasang di Melaka, dan ia menampilkan saiz yang lebih besar berbanding model terdahulu dengan panjang keseluruhan 4,430 mm, lebar 1,818 mm serta jarak roda sejauh 2,610 mm. Jarak kelegaan tanah SUV ini pula adalah 161 mm. Manakala ruang but belakang menawarkan ruang seluas 443 liter, dan ia boleh dibesarkan kepada 1,457 liter sekiranya tempat duduk belakang (60:40) dilipat sepenuhnya.

Bagi varian Hybrid+, ia menerima unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin petrol 1.5 liter NA berkuasa 102 PS dan 128 Nm tork bersama motor elektrik berkuasa 136 PS dan 250 Nm. Sistem ini dipadankan dengan transmisi khusus hibrid (DHT) tiga kelajuan serta bateri berkapasiti 1.83 kWh.

MG ZS akan dilancarkan di Malaysia akhir Oktober ini – CKD, 1.5 Turbo dan Hybrid, anggaran RM105k-RM115k

Gabungan keseluruhan sistem menghasilkan kuasa penuh 196 PS dan tork maksima 465 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.7 saat. MG turut mendakwa penggunaan bahan api berada pada kadar 5.1 liter bagi setiap 100 kilometer berdasarkan kitaran ujian WLTP.

Manakala bagi varian 1.5 Turbo pula, ia dibekalkan dengan enjin petrol 1.5 liter turbo yang menghasilkan 170 PS dan tork maksima 275 Nm, di mana kuasa tersebut ke disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi CVT. Kedua-dua varian ini menerima suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang, bersama rim aloi 18-inci dengan tayar 215/50R18, serta brek cakera untuk ke empat-empat roda.

Perincian-perincian lain yang dikongsi oleh kedua-dua varian ini termasuk lampu-lampu luaran semuanya dengan teknologi LED, kawalan lampu hadapan pintar, rel bumbung kemasan perak, bumbung suria panaromik elektronik, upholsteri leatherette, kemasan-kemasan PVC, tempat duduk pemandu kawalan kuasa, pemanas tempat duduk hadapan, paparan instrumen 12.3-inci, pendingin hawa automatik dengan liang udara kabin belakang, serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

MG ZS akan dilancarkan di Malaysia akhir Oktober ini – CKD, 1.5 Turbo dan Hybrid, anggaran RM105k-RM115k

Kedua-duannya juga menerima tiga mod pemanduan (Eco, Sport Normal), skrin 12.3-inci untuk sistem infotainmen, sokongan Android Auto dan Apple Carplay dan enam pembesar suara. Pembeli SUV ini juga akan menerima akses kepada sistem telematik MG iSmart, manakala bagi varian Hybrid+, ia ditambah dengan tiga mod janaan semula kuasa serta amaran pejalan kaki berbunyi.

Untuk keselamatan pula, MG ZS ini datang standard dengan enam-beg udara, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang merangkumi fungsi seperti cruise control adaptif, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, brek kecemasan automatik, bantuan tukar lorong, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, bantuan cruise pintar, pemantau pemandu, pemantau tiitk buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu serta kamera 360 darjah.

GALERI: MG ZS Hybrid+ di KLIMS 2026

Tags: