Kia Malaysia sudahpun menyiarkan teaser untuk versi facelift Kia Sportage generasi kelima (NQ5), menandakan bahawa model yang membuat kemunculan sulung global pada November 2024 berkenaan akan dilancarkan di sini tak lama lagi. Menerusi teaser berkenaan, nampaknya jelas model tersebut akan menerima unit rangkaian kuasa hibrid.
Spesifikasi sebenar untuk pasaran tempatan masih belum diperincikan. Namun berdasarkan model pada pasaran global, unit rangkaian kuasa hibrid petrol-elektrik untuk Sportage facelift ini menggandingkan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo berkuasa 180 PS/270 Nm dengan motor elektrik berkuasa 65 PS/264 Nm.
Unit rangkaian tersebut turut dikemaskini dengan mod baharu dikenali sebagai ‘infant mode’, membolehkan ia memberikan pecutan ‘selembut bayi’ yang lebih selesa, walaupun dibekalkan dengan tork gergasi dari pengecas turbo dan motor elektrik.
Versi facelift ini menampilkan perubahan pada bahagian muka dengan rombakan dibuat pada gril, lampu hadapan serta lampu nyalaan siang dan juga bampar, yang kini lebih menyerupai muka MPV Kia Carnival facelift. Ia masih menampilkan lebar 1,865 mm, tinggi 1,660 mmm dan jarak roda 2,755 mm yang sama seperti model sedia ada, namun perubahan muka yang dibuat menyebabkan ia kini 25 mm lebih panjang dengan ukuran 4,685 mm.
Sedikit perubahan dibuat pada sebelah dalam dengan menampilkan roda stereng dua jejari baharu, bersama liang penghawa dingin direka seakan merentangi sepenuhnya papan pemuka. Manakala skrin berkembar 12.3-inci untuk paparan instrumen digital dan infotainmen masih lagi dikekal, namun ia kini diberikan perisian ccNC terbaharu.
Bila tarikh sebenar model ini akan dilancarkan juga masih belum diumumkan. Jadi untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Kia Sportage NQ5 facelift ini, pastikan anda terus bersama kami.

Kia Sportage
dari RM128,800
Kia Carnival
dari RM188,888
Kia EV9
dari RM368,668