Selepas kira-kira 12 tahun sejak laporan awal mengenainya muncul, Audi akhirnya memperkenalkan Q9, SUV terbesar yang pernah dihasilkan jenama itu. Model baru ini dibangunkan bagi bersaing dengan Mercedes-Benz GLS dan BMW X7, selain mengambil alih peranan sebagai model perdana Audi, sekaligus menggantikan A8 sebagai model paling mewah dalam barisan produknya.
Q9 dibina menggunakan platform Premium Platform Combustion (PPC) yang turut digunakan oleh Audi A5, A6 dan Q5. Ia juga bakal berkongsi banyak komponen dengan SUV tujuh tempat duduk Porsche yang akan datang, sama seperti hubungan antara Audi Q7 dan Porsche Cayenne.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Audi, Gernot Döllner, Q9 akan menjadi “model perdana baru dalam barisan model Audi.” Ia juga merupakan model pertama Audi menggunakan angka “9” pada nama model.
Dari segi saiz, Q9 berukuran 5,307 mm panjang, 2,205 mm lebar termasuk cermin sisi dan 1,806 mm tinggi, dengan jarak roda 3,141 mm. Audi turut menyatakan ia merupakan model terbesar pernah dihasilkan syarikat itu, dengan berat tanpa muatan 2,530 kg.
Ketika pelancarannya, Q9 ditawarkan dalam varian Advanced line dan S line, dengan pilihan rim bersaiz antara 20 hingga 23 inci.
Bagi pasaran Jerman, Q9 dikuasakan enjin 3.0 liter turbodiesel V6 yang menghasilkan 299 PS dan 630 Nm, manakala beberapa pasaran Eropah lain menerima versi 245 PS dan 500 Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan sistem hibrid ringkas, transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD).
Suspensi udara adaptif dipasang sebagai standard, menawarkan pelarasan ketinggian sehingga 90 mm, termasuk mod Comfort Exit yang merendahkan badan kenderaan bagi memudahkan penumpang keluar masuk. Sistem stereng roda belakang sehingga lima darjah turut disediakan untuk meningkatkan kelincahan, sekaligus membolehkan radius pusingan minimum 13.3 meter.
Ruang kabin ditawarkan dalam konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk. Bahagian papan pemuka menggunakan paparan MMI Panoramic Display yang menggabungkan panel instrumen digital 12.3 inci, skrin infotainmen 14.5 inci serta skrin tambahan untuk penumpang hadapan.
Sistem infotainmen berasaskan Android Automotive OS ini turut menyokong pembantu suara Audi, manakala integrasi ChatGPT akan digunakan sekiranya sistem gagal menjawab pertanyaan umum pengguna.
Antara kelengkapan lain termasuk bumbung panoramik terbesar pernah digunakan pada model Audi, sistem audio Bang & Olufsen dengan 22 pembesar suara dan output 1,360 watt, selain tempat duduk hadapan yang menghasilkan getaran mengikut rentak muzik. Menurut Audi, sistem itu mampu memberikan “getaran yang ditala dengan teliti mengikut rentak muzik serta meningkatkan impak bunyi bass” bagi mewujudkan pengalaman seakan berada di konsert.
Dari segi teknologi pencahayaan, Q9 menjadi model pertama di dunia menggunakan panel OLED digital melengkung pada lampu belakang. Lampu ini bukan sahaja meningkatkan penglihatan dari arah sisi, malah mampu memaparkan simbol amaran kepada pengguna jalan raya di belakang sekiranya terdapat bahaya di hadapan.
Lampu utama Digital Matrix LED baru pula diintegrasikan dengan pelbagai sistem bantuan pemandu, termasuk amaran pertukaran lorong, amaran keluar lorong serta paparan simbol ais pada permukaan jalan sekiranya keadaan jalan licin.
Q9 turut dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik (AEB) hadapan dan belakang dengan pengesanan pejalan kaki serta penunggang basikal, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan parkir dan pelbagai fungsi bantuan untuk treler.
Bagi pasaran yang membenarkannya seperti Jerman, Amerika Syarikat dan Kanada, Q9 turut menawarkan sistem pemanduan separa autonomous Tahap 2 SAE menerusi Adaptive Driving Assistant Plus. Selain fungsi pemanduan bebas tangan di laluan tertentu, sistem ini juga mampu membawa kenderaan ke bahu jalan secara automatik sekiranya mengesan pemandu tidak lagi memberi sebarang tindak balas.
Audi Q9 dipasang di Bratislava, Slovakia dan kini telah dibuka untuk tempahan di Eropah. Harga bermula dari 108,400 euro (sekitar RM504,200) bagi varian 3.0 liter turbodiesel V6 berkuasa 299 PS dan 630 Nm.
GALERI: Audi Q9
GALERI: Audi SQ9











Audi Q5
dari RM352,900
Audi Q5 Sportback
dari RM421,990
Audi Q7
dari RM462,272
Audi Q8 e-tron
dari RM465,990
Audi Q8 e-tron Sportback
dari RM474,990
Audi A3 Sedan
dari RM338,990
Audi A5 Sportback
dari RM440,990