Audi A2 e-tron didedah – sistem elektrik 400V; kuasa sehingga 326 PS, 545 Nm, jangkaan WLTP 450 km

Menjelang kemunculannya pada penghujung tahun ini, Audi telah mendedahkan beberapa maklumat awal mengenai rangkaian kuasa A2 e-tron, sebuah EV kompak baru yang dibangunkan berasaskan platform MEB+ milik Kumpulan Volkswagen.

Model ini menggunakan sistem elektrik 400 volt bersama bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti kasar 61 kWh atau 58 kWh secara bersih, dengan reka bentuk cell-to-pack yang membolehkan sel bateri dipasang terus ke dalam perumah untuk meningkatkan ketumpatan tenaga.

Audi turut mendakwa sistem pengecasan A2 e-tron mempunyai kecekapan 89.6% ketika menggunakan wallbox, hasil strategi penyejukan cecair yang diubah suai. Untuk pengecasan pantas DC sehingga 105 kW, bateri boleh dicas daripada 10% hingga 80% dalam kira-kira 26 minit.

Menariknya, Audi berkata bateri LFP model ini boleh dicas sehingga 100% secara berulang dalam penggunaan harian tanpa perlu mengehadkan pengecasan kepada 80% seperti yang biasanya disarankan bagi sesetengah teknologi bateri lain.

Audi A2 e-tron didedah – sistem elektrik 400V; kuasa sehingga 326 PS, 545 Nm, jangkaan WLTP 450 km

Dari segi penggunaan tenaga, A2 e-tron disebut sebagai model Audi paling cekap pernah dihasilkan, dengan angka awal berdasarkan ukuran WLTP serendah 12.8 kWh/100 km. Angka tersebut adalah untuk varian yang dilengkapi pakej kecekapan pilihan serta motor elektrik dengan kuasa nominal 190 PS (188 hp atau 140 kW). Berdasarkan kapasiti bersih bateri, jarak perjalanan sekitar 450 km dengan sekali cas dijangka boleh dicapai.

A2 e-tron turut menawarkan fungsi vehicle-to-home (V2H), membolehkan tenaga daripada bateri disalurkan kembali ke rumah sehingga 11 kW melalui wallbox DC ketika berlaku kecemasan atau gangguan bekalan elektrik. Selain itu, terdapat fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan dua pilihan output, iaitu sehingga 3.6 kW menggunakan penyesuai pada port pengecasan dan 2.3 kW melalui soket kuasa biasa. Penukar voltan DC-DC terbina dalam pula menurunkan voltan daripada 400 volt kepada 230 volt untuk sistem berkenaan.

Motor elektrik A2 e-tron memacu roda belakang, dengan sistem elektronik kuasa ditempatkan di atas motor. Audi mendakwa sistem ini sehingga 10% lebih cekap hasil penggunaan semikonduktor silikon karbida yang mengurangkan kehilangan tenaga ketika proses pensuisan.

Frekuensi pensuisan berubah-ubah sahaja mampu mengurangkan kehilangan sehingga 20 watt, manakala teknik modulasi alternatif mengurangkan kehilangan pensuisan sehingga 33% berbanding sistem konvensional.

Audi A2 e-tron didedah – sistem elektrik 400V; kuasa sehingga 326 PS, 545 Nm, jangkaan WLTP 450 km

Kecekapan turut ditingkatkan melalui penggunaan laminasi motor yang lebih nipis, daripada 0.3 mm kepada 0.2 mm, bagi mengurangkan kehilangan besi. Belitan stator pula bertukar daripada konfigurasi bintang kepada delta bagi membolehkan motor beroperasi dalam julat kelajuan yang lebih cekap.

Sistem transmisi menggunakan minyak geseran rendah, manakala nisbah gear 10.2:1 yang tinggi membantu mengurangkan kelajuan putaran motor ketika dipandu pada kelajuan tinggi, sekaligus menjimatkan tenaga.

Audi akan menawarkan dua pilihan motor untuk A2 e-tron. Motor APP350 yang dibangunkan baru menghasilkan kuasa puncak 231 PS (228 hp atau 170 kW) serta tork 350 Nm, manakala APP550 yang lebih berkuasa menawarkan sehingga 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan 545 Nm. Dari segi reka bentuk, A2 e-tron mengambil inspirasi daripada A2 asal, tetapi hadir dengan bentuk yang lebih rendah, aerodinamik dan kurang membulat.

Antara ciri aerodinamiknya termasuk gril hadapan yang sebahagian besarnya tertutup, salur udara bawah dengan active shutter, air curtain di penjuru bampar serta bahagian bawah badan yang ditutup sepenuhnya. Audi mendakwa reka bentuk ini menghasilkan pekali seretan hanya 0.24 dan membantu mengurangkan penggunaan tenaga WLTP sehingga 0.9 kWh/100 km. Audi A2 e-tron dijadualkan diperkenalkan secara rasmi pada musim luruh 2026, iaitu sekitar September hingga November nanti.