BYD Racco akhirnya secara rasmi telah dilancarkan di Jepun, di mana model yang dibina berasaskan regulasi kei-car Negara Matahari Terbit tersebut ditawarkan dalam tiga varian iaitu varian asas 200 dijual pada harga 2.145 juta yen (sekitar RM54k), varian pertengahan 300 Plus berharga 2.398 juta yen (RM60k) dan varian tertinggi 300 Premium berharga 2.497 juta yen (RM62k).
Ketiga-tiga varian ini menerima motor elektrik tunggal yang sama memacu roda hadapan, menghasilkan kuasa maksima yang dibenarkan dalam undang-undang kei-car iaitu 64 PS, serta tork 160 Nm. Apa yang berbeza, varian 200 dan 300 diberikan bateri dengan kapasiti yang tidak sama antara satu sama lain yang menentukan jarak geraknya.
Bagi varian asas Racco 200, ia diberikan bateri berkapasiti 22.4-kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 210 km mengikuti kitaran ujian WLTC. Manakala bagi Racco 300 Plus dan 300 Premium pula, kedua-duanya menerima bateri berkapasiti 35.84-kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 320 km WLTP.
Menurut BYD, Racco 200 dengan berat 1,160 kg mampu untuk memecut dari 0-50 km/j dalam masa 4.2 saat, manakala Racco 300 yang sekitar 60-70 kg lebih berat pula melakukan pecutan yang sama dalam masa 4.4 saat.
Untuk mengecas, Rocco 200 boleh menggunakan pengecas AC (Type 1) hanya sehingga 3 kW, dan pengecas pantas DC pula hanya boleh menggunakan plag CHAdeMO sehingga 35.8 kW. Rocco 300 pula boleh menerima pengecas AC sehingga 3 kW dan pengecas pantas DC sehingga 49.7 kW. Sistem vehicle-to-load (V2L) dan vehicle-to-home (V2H) turut diberikan yang membolehkan kuasa bateri digunakan untuk mengoperasikan peralatan elektrik lain.
Selain dari unit rangkaian kuasa, Racco turut dibina dengan saiz yang mematuhi ukuran yang ditetapkan dalam undang-undang kei-car. Ia menampilkan ukuran panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,800 mm dan jarak roda sejauh 2,520 mm. Seperti kei-car lain, ia turut direka bersegi bagi memaksima ruang dalaman, serta diberikan pintu jenis gelangsar pada sebelah belakang bagi memberikan akses yang luas ke kabin belakang.
Bagi Racco 200, ia dibekalkan dengan beberapa perincian standard seperti rim besi bersaiz 15-inci dengan penutup plastik, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.1-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio dengan dua pembesar suara, sistem lampu LED, empat mod pemanduan (Sport, Normal, Eco dan Snow) serta pendingin hawa automatik.
Manakala Racco 300 ditambah dengan upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa, ruang simpanan tambahan, meja yang boleh dilipat pada perehat belakang tempat duduk hadapan, perehat tangan tengah tempat duduk belakang, cermin solek berlampu, enam pembesar suara, lampu kabus hadapan dan sokongan kunci NFC.
Untuk sistem keselamartan pula, semua varian menerima enam beg-udara, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem brek ABS dengan EBD, sistem keselamatan pasif lain termasuk ESC, VDC dan lain-lain, bantuan mula mendaki dan cagak tempat duduk keselamatan Isofix.
Kedua-duanya juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) termasuk sistem cruise control adaptif, amaran gerak mula kereta hadapan, amaran dan pengelak keluar lorong, amaran pelanggaran hadapan, pengenal tanda trafik, pemantau pemandu, bantuan lampu tinggi, pemantau pemandu, bantuan pengehad laju, dan pengelak salah tekan pedal. Manakala untuk varian 300, ia ditambah dengan sistem pemantau angin tayar (TPMS).
Antara pilihan warna badan yang tawarkan adalah termasuk Arctic White, Cheese Yellow, Cosmos Black, Arctic Blue, Midnight Green dan Ruby Red. Manakala dalam kabin, pembeli boleh memilih dalaman Racco tersebut dengan pilihan warna hitam sepenuhnya atau kombinasi hitam dan Beige.
Walaupun BYD Racco merupakan jenama luar Jepun yang pertama kali menghasilkan sebuah kei-car, harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding saingan-saingan terdekatnya yang lain. Misalnya Honda N-One e: dijual pada harga 2,699,400 yen (RM67k), Mitsubishi eK X EV bermula 2.662 juta yen (RM66k) dan Nissan Sakura bermula 2,448,600 yen (RM61k).
GALERI: BYD Racco di Japan Mobility Show 2025
GALERI: Imej rasmi BYD Racco




BYD Atto 3
dari RM125,800
BYD Seal 6
dari RM100,000
BYD Seal
dari RM171,800
BYD Atto 2
dari RM100,000
BYD Sealion 7
dari RM163,800
BYD M6
dari RM109,800