Bersempena dengan acara Art of Speed 2026, Vespa Malaysia melancarkan secara rasmi tiga model baru iaitu Primavera S 180, Sprint S 180 dan Sprint Tech 180 untuk pasaran tempatan. Harga jualannya bermula dari RM21,500 bagi Primavera S 180, diikuti Sprint S 180 pada RM21,900, manakala Sprint Tech 180 selaku varian paling tinggi ditawarkan pada harga RM23,500.
Ketiga-tiga model baru ini didatangkan dengan jaminan selama empat tahun atau sehingga 60,000 km terhadap kecacatan pembuatan. Vespa Malaysia turut mengesahkan bahawa semua model tersebut akan mula berada di bilik pameran pengedar sah di seluruh negara bermula Ogos 2026.
Barisan skuter baru ini dikuasakan enjin i-Get satu silinder 180 cc sejukan udara generasi terkini yang menampilkan 14% komponen baru berbanding sebelum ini. Menurut Vespa, enjin tersebut menawarkan pecutan yang lebih baik, penghantaran kuasa yang lebih lancar serta kecekapan bahan api yang dipertingkatkan. Kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 14.75 hp pada 8,250 rpm dengan tork 13.7 Nm pada 6,500 rpm.
Dari segi kelengkapan, semua model Sprint 180 kini dilengkapi panel meter LCD berwarna baru yang memaparkan maklumat tunggangan secara masa nyata menerusi antara muka yang dipertingkatkan. Bagi Primavera S 180 dan Sprint S 180, kedua-duanya turut menerima sistem kemasukan tanpa kunci (keyless), membolehkan penunggang mengunci, membuka kunci dan menghidupkan enjin menggunakan kunci pintar.
Sistem brek pula menggunakan cakera tunggal di hadapan dengan ABS, manakala roda belakang masih menggunakan brek dram mekanikal. Bagi Sprint Tech 180, Vespa menawarkan spesifikasi yang lebih premium menerusi skrin TFT berwarna bersaiz 5.0 inci serta sistem brek cakera berkembar di hadapan yang dipadankan dengan ABS dua saluran.
Turut diperkenalkan pada ketiga-tiga model ialah rekaan rim baru, kemasan badan yang dikemas kini, logo Vespa pada bahagian hadapan dengan rekaan baru, cangkuk beg boleh lipat serta lencana khas sempena ulang tahun ke-80 Vespa. Pelbagai aksesori rasmi turut ditawarkan menerusi katalog aksesori Vespa.
Dari segi pilihan warna dan kemasan, Primavera S 180 tampil dengan sentuhan kemasan gangsa, rim potongan berlian serta bahan tempat duduk yang dipertingkatkan. Ia ditawarkan dalam pilihan White Innocente dan Blue Capri.
Sprint S 180 pula mengetengahkan imej lebih sporty menerusi kemasan merah, rekaan tempat duduk baru serta rim dengan kemasan terkini. Lima pilihan warna ditawarkan iaitu White Innocente, Matt Black Convinto, Grey Intrepido, Green Tenace dan Grey Essenziale.
Sementara itu, Sprint Tech 180 menggabungkan spesifikasi paling lengkap bersama elemen penggayaan eksklusif, dengan tiga pilihan warna terdiri daripada White Innocente, Matt Black Convinto dan Matt Grey Travolgente.
GALERI: Vespa Primavera S 180
GALERI: Vespa Sprint S 180
GALERI: Vespa Sprint Tech 180









