BYD Atto 3 Premium 2026 terima warna baru Gemilang Blue dan harga istimewa sempena Merdeka — RM125k

Dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Jun lalu, BYD Atto 3 facelift kini ditawarkan dengan warna badan baru yang dipanggil Gemilang Blue. Diilhamkan oleh semangat Merdeka, warna baru ini — yang sebenarnya merupakan warna utama Iris Blue yang diberikan untuk versi Evo-nya untuk pasaran Eropah, dan dinamakan semula — tersedia secara eksklusif untuk varian RWD Premium di sini.

Warna berkenaan bukanlah untuk keluaran terhad. Bagaimanapun, sempena sambutan Hari Kebangsaan ini, Atto 3 Premium diberikan harga Merdeka eksklusif RM124,800, iaitu RM14k lebih murah berbanding RM138,800 yang diumumkan semasa pelancaran.

Walaupun ini menjadikan harga varian Premium lebih rendah daripada Ultra pacuan roda hadapan dalam pasaran yang dijual pada harga RM125,800, pengurangan RM14k ini sebenarnya sama dengan pakej pelancaran yang ditawarkan sebelum ini, bernilai sehingga RM14,000 juga — ini termasuk RM10,000 dalam bentuk sokongan overtrade, serta sama ada pilihan untuk pengecas AC wallbox (termasuk pemasangan) atau enam tahun servis percuma.

Sama seperti ketika dilancarkan, Atto 3 facelift didatangkan dengan jaminan kenderaan selama enam-tahun/150,000 km serta jaminan bateri dan motor selama lapan-tahun/160,000 km.

BYD Atto 3 Premium 2026 terima warna baru Gemilang Blue dan harga istimewa sempena Merdeka — RM125k

Selain warna baru ini, tiada perubahan spesifikasi atau ciri yang diberikan untuk varian ini. Premium menampilkan motor belakang yang menghasilkan 313 PS (308 hp, atau 230 kW) dan 380 Nm, iaitu 109 PS dan 70 Nm lebih banyak berbanding versi Ultra pacuan roda hadapan. Angka prestasi termasuklah masa pecutan 0-100 km/j dalam 5.5 saat, dan kelajuan maksimum 180 km/j untuk varian ini.

Bateri Blade LFP 74.88 kWh memberikan varian Premium jarak perjalanan sehingga 510 km WLTP untuk satu cas penuh, dan peralihan kepada binaan elektrik 800-volt untuk varian ini (Ultra terus menggunakan binaan 400 volt) meningkatkan kadar pengecasan DC maksimum kepada 220 kW, yang membolehkan SoC 10%-80% dicapai dalam masa 25 minit. Kadar pengecasan AC juga meningkat kepada 11 kW, membolehkan pengecasan penuh dicapai dalam masa sekitar lapan jam.

Gemilang Blue (atau Iris Blue) menyertai pilihan empat warna sedia ada yang disediakan untuk kereta ini, iaitu Ski White, Atlantis Grey, Harbour Grey dan Cosmos Black. Dan, hanya varian Premium yang akan menikmati pilihan warna baru ini.

BYD Atto 3 facelift Premium 2026

Tags: