Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah memeriksa sebanyak 1,450 motosikal dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Ampang awal pagi semalam, laporan Bernama. Operasi bersepadu itu membabitkan 103 pegawai dan anggota JSPT KL, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta lapan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, menerusi pemeriksaan tersebut, sebanyak 147 buah motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan. Selain itu, sebanyak 827 saman turut dikeluarkan, melibatkan 671 saman oleh pihak polis dan 156 saman oleh JPJ. Malahan dua individu turut ditangkap di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.

“Operasi itu memberi tumpuan pelbagai kesalahan motosikal termasuk pemalsuan nombor pendaftaran dan penunggang tanpa lesen. Kebanyakan penunggang motosikal yang diperiksa adalah berusia 15 hingga 20 tahun. Antara alasan diberikan ialah mereka belum cukup umur untuk mendapatkan lesen dan keluar pada waktu malam untuk bersiar-siar,” katanya dalam sidang media selepas operasi tamat.

Tambah beliau, operasi yang bermula jam 2 pagi itu turut mengesan kesalahan mengubah suai nombor pendaftaran termasuk nombor yang tidak lengkap atau berbeza pada bahagian depan dan belakang motosikal.

Dalam pada itu, Zamzuri menasihatkan ibu bapa supaya mengambil berat mengenai pergerakan anak-anak dan memastikan mereka tidak melakukan perkara yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain. “Sikap bertanggungjawab dan berhemah di jalan raya bukan sahaja dapat melindungi diri sendiri, malah mampu menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya.