Proton eMas bakal dijual di Sri Lanka melalui David Pieris Holdings — perjanjian pengedaran dimeterai

Proton telah mengumumkan pihaknya telah menandatangani perjanjian pengedaran bersama David Pieris Holdings (Private) Limited (DPHL) yang bakal menyaksikan syarikat tersebut menjadi pengedar Proton eMas di Sri Lanka.

DHPL adalah syarikat induk David Pieris Group, yang memulakan perniagaan mereka dengan tumpuan terhadap sektor automotif sebelum kemudiannya berkembang meliputi perniagaan lain seperti perkhidmatan kewangan, logistik dan riadah. Dengan Proton menjadi sebahagian daripada portfolionya, syarikat itu akan memanfaatkan perkhidmatan kewangan serta logistik dalamannya untuk menyokong usaha menjual dan mengedarkan kenderaan eMas.

“Proton International Corporation berbesar hati kerana telah menandatangani perjanjian pengedaran dengan David Pieris Holdings. Kami percaya mereka adalah rakan kongsi yang tepat untuk mengembangkan kehadiran Proton di Sri Lanka. Dengan sumber yang luas dan pengalaman automotif bertahun-tahun, cita-cita utama kami adalah untuk Proton menjadi jenama NEV terkemuka di negara tersebut,” kata Edmund Lim Meng Thong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation (PICSB).

Menurut Proton, ketika ini terdapat empat pasaran eksport untuk model eMas, termasuk Singapura, Trinidad dan Tobago, Mauritius dan Nepal. Jualan di Sri Lanka dijangka bermula lewat tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah itu meningkat kepada lima, dengan Brunei juga dijangka menyertai senarai yang sama tidak lama lagi.

“Pelancaran Proton eMas telah membuka jalan ke arah penembusan pasaran yang lebih baik untuk Proton International Corporation. Bagi sesetengah pasaran, kenderaan NEV kami adalah satu-satunya model yang dijual yang membawa jenama Proton. Sementara itu, di pasaran yang turut mempunyai penawaran ICE, pengedar kami dapat menawarkan penyelesaian mobiliti yang lebih holistik kepada pelanggan mereka,” ulas Lim.