Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology – harga anggaran di Malaysia diumumkan RM370k-RM400k

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini mengumumkan harga anggaran bagi model Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology yang bakal dilancarkan ke pasaran tempatan kelak adalah bermula RM370k hingga RM400k. MBM telahpun membuka pendaftaran minat versi EV bagi SUV GLC berkenaan pada Disember tahun lalu, dan apabila dilancarkan kelak, ia akan bersaing terus dengan BMW iX3.

GLC EQ ini dibina berasaskan platform MB.EA-Medium, beroperasi dengan asas elektrikal 800 volt serta dibekalkan dengan bateri lithium-ion berkapasiti 94 kWh, membolehkan ia bergerak sejauh 713 km dengan sekali cas penuh mengikut kitaran ujian WLTP.

Dengan asas elektrikal 800 volt tersebut, GLC EV ini boleh menerima sistem pengecas pantas sehingga 330 kW, membolehkan cas dari 10-80% masuk dalam masa hanya 22 minit. Untuk pasaran terpilih, ia turut diberikan penukar DC yang membolehkan ia menggunakan stesen pengecas 400-volt. Manakala untuk pengecas AC pula, ia boleh menerima pengecas rumah 11 kW dan pengecas AC lain sehingga 22 kW.

Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology – harga anggaran di Malaysia diumumkan RM370k-RM400k

Ketika membuat kemunculan sulung global pada September 2025, GLC EQ ini hadir dalam varian GLC400 4Matic, dibekalkan dengan dua motor elektrik synchronous, masing-masing pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kemampuan pacuan semua roda.

Motor pada gandar belakang dilengkapi transmisi dua kelajuan, manakala hadapan menggunakan gear pengurang (reduction) tunggal. Secara keseluruhan kedua-dua motor berkenaan membekalkan kuasa 489 PS (360 kW), membolehkan ia memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 4.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j serta mempunyai keupayaan menunda sehingga 2.4 tan.

Sebagai perbandingan, BMW iX3 yang dilancarkan di Malaysia dalam varian iX3 50 xDrive M Sport juga menerima dua motor elektrik bagi memacu semua roda, dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 469 PS/645 Nm yang digerakkan oleh bateri 108.7 kWj. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j sedikit perlahan berbanding GLC400 Matic iaitu 4.9 saat, tetapi ia boleh bergerak lebih jauh iaitu 805 km WLTP dengan bateri yang lebih besar.

Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology – harga anggaran di Malaysia diumumkan RM370k-RM400k

Casis GLC EQ ini ditampung oleh konfigurasi suspensi jenis empat-hubungan di hadapan dan multilink dengan pivot pusat di belakang. Ia turut ditawarkan dengan sistem suspensi Airmatic serta sistem stereng gandar belakang yang boleh memutarkan roda sehingga 4.5 darjah.

Pada bahagian dalaman pula, GLC EQ ini diberikan sistem MBUX generasi keempat dengan menampilkan MBUX Hyperscreen 39.1 inci yang meliputi hampir keseluruhan papan pemuka. Ia menggabungkan tiga paparan digital di bawah satu permukaan kaca, terdiri dari paparan instrumen 10.3 inci, serta dua skrin sentuh 14 inci untuk infotainmen tengah dan penumpang hadapan.

Dalam laman sesawang pendaftaran minat tersebut juga menyebut bahawa GLC EV ini akan hadir dengan bumbung panaromik Sky Control, lampu suasana kabin aktif yang boleh bertukar berdasarkan muzik yang sedang dimainkan, upholsteri vegan dan juga pad pengecas telefon pintar tanpa wayar. Ia juga hadir dengan ruang kargo berkapasiti 570 liter yang boleh dibesarkan sehingga 1,740 dengan tempat duduk belakang dilipat, serta tambahan 128 liter pada bahagian frunk di hadapan.

Tags: