BMW Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan BMW iX3 ke pasaran tempatan, iaitu model pertama untuk siri produksi “Neue Klasse” jenama premium dari Jerman berkenaan. iX3 generasi NA5 ini diperkenalkan terlebih dahulu dalam varian iX3 50 xDrive M Sport, dijual pada harga atas jalan RM378,800 dengan waranti standard selama dua tahun tanpa had perbatuan.
Sekiranya pelanggan mahukan BMW iX3 50 xDrive M Sport ini dengan waranti dan pakej servis selama lima-tahun, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM399,800. Menurut BMW Malaysia, kumpulan pertama BMW iX3 yang dibawa ke Malaysia yang berjumlah 50 unit sudahpun habis dijual, namun tempahan masih lagi diambil. Model yang dibawa ke Malaysia ini juga menerima spesifikasi paling penuh yang ditawarkan untuk rantau Asia Tenggara.
Kita di Malaysia menerima iX3 selepas sekitar setahun ia membuat kemunculan sulung global, dan ia datang dalam versi jarak roda biasa, diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang BMW di Debrecen di Hungary, bukan versi jarak roda panjang (dikenali sebagai iX3 L) yang di buat di China.
BMW iX3 ini merupakan model produksi bagi model konsep Vision Neue Klasse X yang muncul pada 2024. Rekaan tersebut kini menampilkan ‘kidney gril’ ikonik BMW yang kini kembali kecil bersama lampu utama yang menampilkan empat LED, yang sebenarnya diinspirasikan dari model-model BMW era 1960’an, antaranya seperti model ikonik BMW 2002.
Dengan pakej penggayaan M Sport dipadankan secara standard, iX3 pasaran Malaysia ini terus menerima perincian luaran seperti Glass 3D kidney Shadowline dan BMW Iconic Glow yang memberikan pencahayaan pada gril hadapan, diffuser belakang dan penutup cermin sisi dalam kemasan hitam berkilat.
Pakej M Sport ini juga datang dengan angkup brek yang dilayangkan dengan warna merah serta rim aloi ringan M Style 1050 22-inci dalam kemasan dua-tona di mana lebar rim bahagian hadapan adalah 9 jj dan dibalut dengan tayar 255/35R 22, manakala lebar rim belakang pula adalah 9.5 jj bersama tayar 275/35R22.
iX3 50 xDrive M Sport Pro ini menerima dua motor elektrik yang masing-masing memacu gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kemampuan pacuan semua roda BMW xDrive menerusi kotak gear automatik kelajuan tunggal, namun tork diagihkan lebih ke roda belakang, menurut BMW. Secara keseluruhan kedua-dua motor berkenaan menghasilkan kuasa keseluruhan 345 kW (469 hp) dan tork maksima 645 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.
Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri nikel mangan kobalt (NMC) 108.7 kWj, yang memberikan jarak gerak sejauh 805 km dengan satu cas penuh mengikut kitaran ujian WLTP. Menurut BMW lagi dengan kadar penggunaan tenaga 17.9-15.1 kWj/100 km dan pekali seretan hanya 0.24, BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro ini merupakan SUV EV paling efisien pernah dihasilkannya.
Model ini menggunakan asas elektrikal 800-volt, membolehkan ia menerima cas pantas DC sehingga 400 kW, di mana cas dari 10%-80% boleh dipenuhkan dalam masa 21 minit, dan jarak gerak sejauh 372 km boleh ditambah dengan cas dalam masa hanya 10 minit. Manakala untuk pengecas AC onboard, ia boleh menerima sehingga 22 kW. Kami diberitahu bahawa pengecas DC BMW Wallbox Professional masih belum ditawarkan di Malaysia.
Dalam kabin, i3X generasi baharu ini menerima sistem BMW Panoramic iDrive iaitu paparan head-up pelbagai informasi termasuk navigasi dan bantuan pemanduan, yang terletak di bahagian bawah cermin hadapan merentasi dari satu tiang-A kiri ke tiang-A kanan digelar sebagai Panoramic Vision Display.
Ia juga diberikan skrin infotainment bersaiz 17.9-inci yang direka dengan bentuk Free-Cut, berfungsi dengan sistem operasi BMW Operating System X menerusi QuickSelect. Manakala untuk pemandu, model dengan pakej M Sport ini hadir dengan roda stereng M yang rata di atas dan di bawah, menampilkan sistem pemanas dan pad kawalan Shy Tech pada bahagian jejari kiri yang hanya akan timbul ketika diperlukan. Menurut BMW, teknologi ini memberikan operasi sistem bantuan yang intuitif yang membolehkan ia dikawal tanpa perlu pemandu mengalihkan pandangan dari jalan raya.
Kabin i3X 50 xDrive M Sport ini menampilkan tema hitam M Black dan panel instrumen yang diberikan kemasan permukaan tekstil dan lampu latar atmosfera. Bahagian hadapan i3X 50 xDrive M Sport datang tempat duduk M Sport untuk pemandu dan penumpang, di mana ia menampilkan larasan elektrik dengan memori serta fungsi lain termasuk pengurut dengan tujuh program dan pemanas.
Perincian dalaman lain yang turut diberikan termasuk sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bumbung suria panoramik dengan kaca Climate Comfort, lampu suasana kabin, sistem penyaman udara automatik tiga zon, tali pinggang keledar M, Comfort Access, pengecas tanpa wayar serta sistem audio Harman Kardon HiFi berkuasa 430 watt dengan 13 pembesar suara. Ia juga hadir dengan BMW Digital Key Plus yang membolehkan kenderaan mengenal pasti kehadiran pemandu tanpa perlu mengeluarkan kunci daripada poket atau beg.
Untuk praktikaliti, BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro ini menawarkan ruang kargo belakang berkapasiti 520 liter, yang boleh diperluaskan hingga 1,750 liter dengan melipat tempat duduk belakang dalam nisbah 40:20:40. Ruang kargo ini diberikan penutup yang boleh disimpan di bawah lantai ruang simpanan tanpa menjejaskan kapasiti muatan, membolehkannya kekal berada di dalam kenderaan pada setiap masa.
Model ini juga merupakan model BWM pertama di Malaysia yang mempunyai ruang simpanan di bawah bonet hadapan (frunk) dengan kapasiti 58 liter. Menurut BMW, ruang simpanan ini diperbuat daripada 30 peratus bahan kitar semula berasaskan
sumber maritim.
Untuk keselamatan, i3X 50 xDrive M Sport ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) BMW Driving Assist Plus yang merangkumi fungsi bantuan kawalan stereng dan brek dengan pengawal kelajuan serta jarak kenderaan di hadapan, pengekal kedudukan kenderaan tengah lorong (sistem ini turut melaraskan kelajuan secara automatik berdasarkan had laju yang dikesan serta memperlahankan kenderaan apabila menghampiri selekoh, bulatan dan persimpangan), Amaran Keluar Lorong, Amaran Perlanggaran Sisi, Bantuan Henti Kecemasan, Amaran Pertukaran Lorong dan Info Had Kelajuan.
Namun bagi model pasaran Malaysia ini ia masih belum dibekalkan dengan Bantuan Lebuhraya dan Bandar. BMW Malaysia menjelaskan bahawa sistem tersebut memerlukan peta berdefinasi tinggi dan rantau Asia Tenggara masih lagi belum mempunyai peta berkenaan.
Selain itu i3X 50 xDrive M Sport Pro pasaran Malaysia ini diberikan Bantuan Parkir Profesional yang memberikan paparan 360 darjah keadaan sekeliling kenderaan, serta fungsi Bantuan Parkir standard yang merangkumi Kawalan Jarak Parkir Aktif, Pemantauan Pergerakan Awal, Bantuan Parkir, Amaran Trafik Melintas, Bantuan Undur dan Amaran Keluar Kenderaan. Sistem ini juga membolehkan pengguna menggerakkan kenderaan ke hadapan atau ke belakang apabila pemandu berada di luar kereta serta membuat pergerakan parkir dengan pemandu berada hingga enam meter dari kenderaan.
Pelanggan di Malaysia boleh memilih BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro 2026 ini dalam enam pilihan warna badan iaitu, Alpine White, Black Sapphire, M Brooklyn Grey, Space Silver, serta dua warna metalik baharu iaitu Ocean Wave Blue dan Polarised Grey.
Gambar rasmi BMW iX3 50 xDrive M Sport 2026 pasaran Malaysia











