Kerajaan melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya menetapkan sasaran untuk mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya, terutamanya membabitkan pengguna motosikal, sebanyak 50% menjelang tahun 2030, laporan Bernama.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, penyelarasan dasar, sumber dan akauntabiliti antara kementerian serta agensi akan diperkukuh supaya setiap intervensi bukan sahaja dilaksanakan tetapi menghasilkan pengurangan kematian dan kecederaan serius yang dapat diukur.
“Langkah terbabit penting kerana sebanyak 6,537 nyawa terkorban akibat nahas jalan raya pada tahun lalu, iaitu bersamaan kira-kira 18 nyawa setiap hari. Lebih membimbangkan, penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira 66% daripada keseluruhan kematian, meskipun motosikal hanya mewakili 14% jumlah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan.
“Ini bermakna hampir dua daripada setiap tiga kematian di jalan raya membabitkan penunggang atau pembonceng motosikal,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Putrajaya hari ini.
Tambah beliau, angka terbabit menunjukkan bahawa kerajaan tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan biasa, sebaliknya intervensi perlu lebih bersasar kepada kumpulan berisiko tinggi serta menangani faktor lain seperti keselamatan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, penguatkuasaan dan perancangan bandar secara lebih menyeluruh.
Beliau turut menekankan bahawa kerugian sosioekonomi akibat kematian jalan raya pada tahun lalu dianggarkan sekitar RM30 bilion, berdasarkan pendekatan Value of Statistical Life (VOSL).
“Ini membuktikan bahawa pelaburan dalam keselamatan jalan raya bukan sekadar perbelanjaan, tetapi pelaburan untuk menyelamatkan nyawa, melindungi keluarga dan mengurangkan kerugian kepada ekonomi negara,” katanya.
Dalam masa yang sama Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa itu turut bersetuju agar Program Rangka Kerja Keselamatan Jalan Raya (SAFERO), dilaksanakan secara berfasa melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT), Petroliam Nasional Bhd, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
SAFERO akan memanfaatkan kepakaran industri dalam pemanduan defensif, pengurusan keletihan serta pemantauan tingkah laku pemandu, bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme pemandu kenderaan berat, katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, Ops Cegah yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan diperkukuh melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPJ dan majikan, dengan menggunakan data untuk mengenal pasti organisasi serta kawasan berisiko tinggi.
“Data PERKESO menunjukkan kadar kematian akibat kemalangan perjalanan pekerja pada tahun 2025, 2.4 kali ganda lebih tinggi berbanding kemalangan industri,” katanya yang turut menambah isu keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan pendekatan keseluruhan masyarakat.
“Kerajaan boleh menyediakan dasar, infrastruktur, teknologi dan penguatkuasaan, tetapi budaya keselamatan hanya dapat dibentuk apabila industri, majikan dan setiap pengguna jalan raya memainkan peranan masing-masing. Ukuran kejayaan kita bukan berapa banyak kempen atau operasi yang dilaksanakan, tetapi berapa banyak nyawa yang dapat kita selamatkan,” katanya.










