Tiket “Madani” RM200 untuk tonton F1 GP Bahrain 2026 di Sepang habis dijual – Menteri Belia dan Sukan

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari mendedahkan bahawa tiket “Madani” yang berharga RM200 bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2-4 Oktober ini telah pun habis terjual.

Menurutnya dalam laporan Bernama, berdasarkan laporan dari SIC tiket berkenaan mendapat permintaan yang tinggi oleh rakyat Malaysia, selepas sistem jualan dibuka kepada awam.

“Setakat hari ini (tiket Madani) memang dah terjual dengan secara keseluruhan, tetapi kita akan melihat juga sekiranya ada ruang dan keperluan untuk tambahan (tiket Madani) dan sebagainya. Kita akan umumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Tiket “Madani” RM200 untuk tonton F1 GP Bahrain 2026 di Sepang habis dijual – Menteri Belia dan Sukan

‘Tiket Madani’ yang dimaksudkan sebenarnya adalah tiket untuk penonton menyaksikan perlumbaan ini dari atas bukit tanpa tempat duduk di Hillstand G, bagi melihat aksi jentera F1 yang tiba di selekoh 4,5 dan 6 SIC selama tiga hari perlumbaan ini berlangsung. Walau bagaimanapun harga serendah RM200 tersebut hanya diberikan untuk rakyat Malaysia yang memegang Mykad yang sah.

Selain dari Hillstand G, SIC turut menyediakan beberapa lagi kawasan bukit iaitu Hillstand B untuk melihat aksi di selekoh 13 dan 4 serta Hillstand C untuk melihat aksi di selekoh 9, 10 dan 11, namun tiket-tiket ini dijual pada harga RM809.60 untuk tiga-hari.