Kerajaan teliti pelan penyuraian trafik untuk pusat bandar JB menjelang pengoperasian RTS – Ahmad Zahid

Kerajaan sedang meneliti pelan perancangan penyuraian trafik di sekitar pusat bandar Johor Bahru bagi mengelakkan pembentukan titik kesesakan baharu menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link antara bandar itu dan Singapura, laporan Bernama.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perancangan tersebut melibatkan penyelarasan antara agensi serta integrasi sistem pengangkutan awam itu akan menyaksikan corak pergerakan pengguna berubah, khususnya di sekitar pusat bandar dan kawasan mempunyai hubungan terus dengan sistem berkenaan.

“Pendekatan ini selari dengan aspirasi pengangkutan awam lebih bersepadu, cekap, selamat dan mesra rakyat, khususnya dalam menyokong mobiliti rentas sempadan lebih lancar,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya di Putrajaya, semalam.

Kerajaan teliti pelan penyuraian trafik untuk pusat bandar JB menjelang pengoperasian RTS – Ahmad Zahid

RTS Link dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027. Ia adalah perkhidmatan rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer, yang mampu memuatkan kapasiti 10,000 penumpang sejam untuk setiap hala pada waktu puncak, dengan masa perjalanan sekitar lima minit antara dua stesen, satu di Bukit Chagar di Johor dan satu lagi di Woodlands di Singapura. Ia juga disasarkan dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta mempercepat perjalanan harian rakyat antara dua negara.

Pada 2 Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan dana bagi membiayai kos pembangunan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Johor sebagai sebahagian usaha menangani unjuran kesesakan yang dijangka apabila RTS Link mula beroperasi.

Selain itu, rangkaian perkhidmatan BAS.MY akan diperluaskan kepada 28 laluan melibatkan 254 unit bas termasuk bas elektrik dan menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) 2.0 pula, sebanyak 157 unit bas dikhususkan untuk laluan Johor Bahru Sentral dan Bukit Chagar yang dijangka dapat dimulakan pada awal 2027.