Laluan motosikal akan terus ditambah baik, kenal pasti lokasi blackspot kemalangan – Menteri KKR

Usaha bagi menambah baik laluan motosikal akan diteruskan, selain mengenal pasti lokasi blackspot atau kawasan yang kerap berlaku kemalangan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan jumlah mangsa dalam kalangan penunggang motosikal, kata Menteri Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, laporan Berita Harian.

Beliau berkata, antara usaha berkenaan ialah membaiki laluan motosikal yang sebelum ini terbiar atau tidak lagi selamat digunakan termasuk aspek pencahayaan dan sistem saliran. Langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasama KKR, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), susulan statistik menunjukkan penunggang motosikal antara kumpulan pengguna jalan raya paling tinggi terdedah kepada kemalangan.

“Memang kita menerima pembentangan mengenai statistik kes kemalangan dan mangsa kemalangan. Yang sangat tinggi adalah penunggang motosikal. Sebab itu kebelakangan ini kita di KKR melalui LLM dan JKR menekankan bagaimana kita membantu mengurangkan kemalangan dan mangsa kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan 2026 (NEC2026) hari ini.

Nanta turut berkata, sejak dua hingga tiga bulan lalu, beliau turun padang meninjau kemajuan projek membaik pulih laluan motosikal sepanjang hampir 20 kilometer yang sebelum ini berdepan masalah banjir, selain pencahayaan tidak mencukupi akibat kerosakan dan vandalisme.

“Selepas kerja penambahbaikan dilaksanakan, laluan berkenaan kini lebih selamat dan menerima maklum balas positif daripada pengguna. Program ini bukan di situ saja, kita akan teruskan di tempat-tempat lain, tertakluk kepada kemampuan kewangan. Sebab itu dalam bajet akan datang, kami memohon peruntukan yang lebih besar untuk tujuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, KKR turut memberi tumpuan kepada pengenalpastian lokasi ‘blackspot’, iaitu kawasan yang dikenal pasti mempunyai kekerapan kemalangan atau kadar kematian yang tinggi. Di mana pengenalpastian lokasi berkenaan mengambil kira kriteria tertentu, termasuk jumlah kemalangan dalam radius dan tempoh tertentu serta jumlah kematian yang direkodkan.

“Memang ada tempat-tempat yang kita kata blackspot. Di situ, kita akan kenal pasti dan buat rawatan (penambahbaikan),” katanya yang turut menambah usaha meningkatkan keselamatan jalan raya perlu dilaksanakan secara menyeluruh kerana kemalangan bukan sahaja berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya, malah turut boleh dipengaruhi keadaan fizikal jalan, reka bentuk selekoh dan persimpangan.