Keseluruhan jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada awal 2027, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WCE Holdings Bhd, Lyndon Alfred Felix, laporan Berita Harian.
Buat masa ini, katanya, projek berkenaan semakin menghampiri fasa penyelesaian dan peralihan kepada operasi tol sepenuhnya. Ini termasuklah pembinaan bagi dua seksyen terakhir iaitu Seksyen 3 dari KESAS ke Laluan 2 Lebuhraya Persekutuan dan Seksyen 7 dari Assam Jawa ke Tanjong Karang yang masih berjalan.
Manakala Seksyen 4 yang menghubungkan Laluan 2 Lebuhraya Persekutuan dengan New North South Klang Straits Bypass (NNKSB) pula sudah siap sepenuhnya dan akan dibuka bersama Seksyen 3.
“Ketika kami semakin hampir menyiapkan baki seksyen lebuh raya, keutamaan kami kekal kepada pelaksanaan projek tepat pada masanya, di samping mengekalkan kecemerlangan operasi dan meningkatkan keseluruhan pengalaman perjalanan pengguna,” katanya.
Beliau turut menambah, operasi penuh jajaran WCE yang dijangkakan pada awal 2027 juga dijangka memberi kesan positif terhadap prestasi operasi dan kewangan kumpulan.
Lebuhraya WCE merupakan lebuhraya antara bandar yang menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Banting, Selangor sepanjang 314.5 km dengan melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Banting.
Ia merangkumi 11 seksyen iaitu tujuh seksyen di Selangor dan empat seksyen di Perak. Selain Seksyen 11, lima lagi seksyen WCE telah dibuka iaitu Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar – Assam Jawa) di Selangor serta Seksyen 8 ( Hutan Melintang-Telok Intan), Seksyen 9 (Kampung Lekir -Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas) di Perak. Secara purata trafik harian mencecah 70,000 kenderaan yang melalui lima seksyen berkenaan.








