Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengumumkan bahawa ia bakal melancarkan Volvo EX90 versi kemaskini tidak lama lagi. Model berkenaan diperkenalkan pada peringkat global pada September tahun lalu, menampilkan pelbagai tingkat taraf, dan perubahan paling besar ada penggunaan asas elektrikal 800-volt bagi menggantikan sistem 400-volt sebelumnya.
Asas elektrikal yang lebih berkuasa berkenaan membolehkan EX90 menerima pengecas pantas DC sehingga 350 kW, berbanding hanya sehingga 250 kW sebelumnya.
Masih lagi dibekalkan dengan bateri 11 kWj yang sama, asas elektrikal baharu ini membolehkan cas dipenuhkan dari 10-80% hanya dalam masa 22 minit, berbanding 30 minit sebelum ini. Dengan menggunakan pengecas DC yang berkemampuan, jarak gerak 250 km boleh ditambah dengan cas yang mengambil masa hanya 10 minit (180 km/10 minit pada versi sebelumnya). Pengecas AC pula masih kekal boleh menyokong sehingga 11 kW. Juga dengan bateri yang sama, jarak gerak mungkin masih sama iaitu 623 km dalam kitaran ujian WLTP.
Dengan asas elektrikal 800 volt ini juga membolehkan kuasa dapat disampaikan dengan lebih banyak dari bateri ke motor elektrik. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, VCM mengesahkan bahawa EX90 2026 pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan kuasa 680 PS (500 kW) dan tork maksima 870 Nm dari dua buah motor elektrik untuk varian tertinggi Twin Motor Performance.
Angka berkenaan adalah lebih besar berbanding EX90 Twin Motor Performance sedia ada yang dijual pada pasaran tempatan dengan pakej penggayaan Ultra, di mana kedua-dua motor hadapan dan belakang menampilkan kuasa keseluruhan 517 PS (380 kW) dan tork maksima 910 Nm. Walaupun tork versi baharu ini sedikit rendah, pecutannya masih lebih pantas dengan mencatatkan masa 4.2 saat dari kedudukan pegun hingga mencapai 100 km/j (4.9 saat untuk model sebelumnya).
Pecutan lebih pantas berkenaan bukan hanya kerana kuasanya yang lebih besar, malah versi kemaskini ini turut lebih ringan dengan asas elektrikal 800-volt ini menampilkan sistem pendawaian dalaman yang menggunakan wayar-wayar lebih halus. Kelajuan maksima masih kekal dihadkan kepada 180 km/j seperti model-model terkini Volvo yang lain bagi tujuan keselamatan.
Selain dari asas elektrikal yang lebih berkuasa, versi 2026 ini juga bakal menampilkan komputer utama yang lebih maju menampilkan chip berkembar Nvidia Drive AGX Orin seperti yang telah digunakan pada model ES90. Chip berkenaan menggunakan fungsi kecerdasan buatan (AI) dan menambahbaik fungsi kelengkapan keselamatan.
Namun tidak seperti rombakan besar yang telah dibuat pada asas elektrikal dan komputer utamanya, rupa luaran EX90 2026 ini masih lagi nampak sama seperti versi sedia ada.
Buat masa sekarang Malaysia menerima EX90 yang diimport sepenuhnya (CBU) yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM442,888. Manakala bagi model kemaskini ini dijangka adalah versi pemasangan tempatan (CBU) yang dihasilkan bersama sedan ES90 di kilang Volvo Shah Alam, seperti yang telah kami laporkan pada Oktober tahun lalu.
VCM telahpun membuka pendaftaran minat (ROI) bagi EX90 2026 ini, dan syarikat itu turut mengumumkan bahawa 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan menerima ganjaran istimewa.
GALERI: Volvo EX90 CBU 2025


Volvo EX90
dari RM442,888
Volvo ES90
dari RM339,888
Volvo XC60
dari RM328,888
Volvo XC90
dari RM418,888
Volvo EX30
dari RM208,888
Volvo EC40
dari RM248,888
Volvo XC40
dari RM268,888