Volvo EX90 CKD 2026 dilancarkan – RM428,888, kini guna asas elektrikal 800V, 680 PS, kulit Nappa, warna baru

Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini secara rasmi melancarkan Volvo EX90 2026, iaitu model tingkat taraf terkini serta telahpun dipasang secara tempatan menerusi kilang Volvo di Shah Alam, Selangor bagi menggantikan model yang diimport sepenuhnya (CBU) yang telah dilancarkan di sini pada April tahun lalu.

Seperti versi CBU sebelumnya, EX90 CKD ini masih ditawarkan dalam varian tunggal EX90 Ultra Twin, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM428,888.00. Jadi berbanding versi CBU yang dijual pada harga RM442,888, versi CKD ini adalah RM14,000 lebih murah, tetapi diberikan pelbagai peningkatam.

Setiap pembelian model ini disertakan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti bateri selama lapan-tahun tanpa had perbatuan dan juga servis percuma selama lima-tahun. Khas untuk 100 pelanggan pertama, VCM turut menawarkan rebat tunai berjumlah RM25,000 serta pengecas wallbox percuma.

Jika dilihat pada sebelah luar, rupa Volvo EX90 CKD ini masih sama seperti EX90 CBU terdahulu. Ia menerima perincian seperti, lampu tinggi aktif, serta set rim aloi lapan jejari dengan kemasan Glossy Black Diamond Cut berdiameter 21-inci, dibalut dengan tayar 265/45R21 di hadapan dan 295/40R21 di belakang.

Volvo EX90 CKD 2026 dilancarkan – RM428,888, kini guna asas elektrikal 800V, 680 PS, kulit Nappa, warna baru

Yang jelas, model CKD ini boleh dibezakan dengan ketiadaan ‘benjolan’ pada bahagian hadapan bumbung sebenarnya adalah penderia LIDAR pada versi CBU sebelum ini di mana penderia berkenaan masih lagi belum boleh digunakan di Malaysia buat masa sekarang. Bumbung panaromik kaca pada versi CKD ini juga telah dipertingkat kepada jenis elektrokromik yang boleh digelapkan.

Peningkatan paling besar pada versi CKD ini adalah pada sistem elektrikalnya, di mana ia kini menggunakan asas elektrikal 800-volt bagi menggantikan sistem 400-volt pada versi CBU sebelumnya, sama seperti yang telah didedahkan pada peringkat global pada September tahun lalu.

Asas elektrikal yang lebih berkuasa ini membolehkan EX90 menerima pengecas pantas DC sehingga 350 kW, berbanding hanya sehingga 250 kW sebelumnya. Masih lagi dibekalkan dengan bateri 11 kWj yang sama, asas elektrikal baharu ini membolehkan cas dipenuhkan dari 10-80% hanya dalam masa 22 minit, berbanding 30 minit sebelum ini. Dengan menggunakan pengecas DC yang berkemampuan, jarak gerak 250 km boleh ditambah dengan cas yang mengambil masa hanya 10 minit (180 km/10 minit pada versi sebelumnya).

Pengecas AC pula masih kekal boleh menyokong sehingga 11 kW. Dengan bateri yang sama, jarak gerak juga masih sama iaitu 623 km dalam kitaran ujian WLTP.

Volvo EX90 CKD 2026 dilancarkan – RM428,888, kini guna asas elektrikal 800V, 680 PS, kulit Nappa, warna baru

Dengan asas elektrikal 800 volt ini juga membolehkan kuasa dapat disampaikan dengan lebih banyak dari bateri ke motor elektrik di mana kedua-dua motor elektrik yang dibekalkan menghasilkan kuasa 680 PS (500 kW) dan tork maksima 870 Nm. Angka tersebut jelas lebih besar dari model CBU yang menampilkan kuasa keseluruhan 517 PS (380 kW), tetapi tork maksima versi sebelum ini masih lebih besar iaitu 910 Nm.

Walaupun tork untuk versi CKD baharu ini sedikit rendah, pecutannya masih lebih pantas dengan mencatatkan masa 4.2 saat dari kedudukan pegun hingga mencapai 100 km/j (4.9 saat untuk model sebelumnya).

Pecutan lebih pantas berkenaan bukan hanya kerana kuasanya yang lebih besar, malah versi kemaskini ini turut lebih ringan dengan asas elektrikal 800-volt ini menampilkan sistem pendawaian dalaman yang menggunakan wayar-wayar lebih halus. Kelajuan maksima masih kekal dihadkan kepada 180 km/j seperti model-model terkini Volvo yang lain bagi tujuan keselamatan.

Selain dari asas elektrikal yang lebih berkuasa, versi CKD ini juga menampilkan komputer utama yang lebih maju menampilkan chip berkembar Nvidia Drive AGX Orin seperti yang telah digunakan pada model ES90. Chip berkenaan menggunakan fungsi kecerdasan buatan (AI) dan menambahbaik fungsi kelengkapan keselamatan.

Kelengkapan kabin EX90 CKD ini masih sama seperti versi CBU ini, menampilkan konfigurasi tujuh-tempat duduk, paparan instrumen digital 9-inci, skrin infotainmen potret 14.5-inci (beroperasi dengan OS Android Automotive dengan servis Google percuma selama lima tahun, bersama sambungan Apple CarPlay tanpa wayar), sistem pendingin hawa empat-zon dan suspensi udara dengan penyerap hentap adaptif, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan, sistem bunyi 3D Bower & Wilkins dengan 25-pembesar suara, sistem pintu yang ditutup secara ‘lembut’, cermin hadapan jenis double glazing serta larasan posisi roda stereng boleh dibuat secara elektronik pada skrin utama. Upholsteri kulit biasa sebelum ini telah dipertingkat dengan kulit Nappa pada model CKD ini.

Seperti yang disebut sebelum ini, Volvo menobatkan EX90 ini sebagai model paling selamat pernah dibinanya. Ia menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang beroperasi menggunakan lima radar, lapan kamera, dua kamera dalam kabin, dan 16-penderia ultrasonic.

Antara fungsi ADAS yang diberikan termasuk sistem pengelak dan mitigasi pelanggaran, mitigasi dari hadapan dengan brek, pengelak dengan putaran stereng untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan skuter, pengelak dan amaran pelanggaran belakang, brek automatik di persimpangan, sistem informasi titik buta dengan bantuan stereng, bantuan kekal lorong, amaran lintasan trafik belakang dengan brek kelajuan rendah, amaran buka pintu dan banyak lagi.

EX90 ini juga menerima fungsi Driver Understanding System, di mana sistem ini akan memantau keadaan pemandu. Ia akan memberikan amaran kepada pemandu sekiranya dikesan tidak berada dalam keadaan yang baik untuk memandu.

Radar yang digunakan pada SUV ini juga turut boleh mengesan penumpang dalam kereta bagi memastikan tiada kanak-kanak atau binatang peliharaan tertinggal selepas pemandu meninggalkan kereta menerusi fungsi Occupant Sensing. Sistem ini juga akan terus mengoperasikan penghawa dingin selagi mengesan ada penumpamg di dalam kabin, bagi memastikan sekiranya ada kanak-kanak yang tertinggal tidak mengalami strok haba atau hipotermia.

Sebanyak lima warna badan ditawarkan untuk Volvo EX90 CKD ini, berbanding hanya empat pada versi CBU sebelumnya. Warna Onyx Black, Sand Dune, Crystal White dan Vapour Grey masih lagi kekal, dan ditambah dengan pilihan Mulberry Red. Kesemua pilihan warna badan ini boleh dipadankan dengan tema kabin hitam Charcoal atau Cardamom yang lebih cerah.

GALERI: Brosur rasmi Volvo EX90 CKD 2026

Tags: