Ini ada makluman penting buat para pengguna Lebuhraya Lembah Klang (EKVE). Dimaklumkan bahawa pada hari Ahad ini (23 Ogos 2026), keseluruhan jajaran lebuhraya berkenaan akan ditutup sepenuhnya buat sementara waktu dari jam 4 pagi hingga 12 tengahari.
Ia adalah bagi menjayakan penganjuran Bank Rakyat–EKVE Community Ride 2026 yang menjadikan lebuhraya berkenaan sebagai lokasi utamanya.
Penutupan ini melibatkan laluan serta akses di Persimpangan Sungai Long, Persimpangan Bandar Mahkota Cheras, Persimpangan Hulu Langat dan Persimpangan Ampang.
“Sepanjang tempoh penutupan, semua kenderaan tidak dibenarkan melalui Lebuhraya EKVE. Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif yang bersesuaian serta mematuhi arahan pengawal trafik dan papan tanda yang disediakan,” kata syarikat konsesinya.
Lebuhraya EKVE yang mula dibuka sejak setahun yang lalu membentuk sebahagian daripada sistem Lingkaran Luar Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur Outer Ring Roads (KLORR) di bahagian timur, telah dirancang sebagai laluan alternatif yang dapat menghubungkan kawasan-kawasan utama di pinggir bandar seperti Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat dan Ampang, tanpa perlu memasuki pusat bandar yang sering kali mengalami kesesakan trafik yang teruk. Ia juga merupakan laluan alternatif yang menghubungkan ke lebuh raya lain seperti Lebuhraya Kajang SILK dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).








