Projek pelebaran Lebuh Raya KL-Karak akan disiapkan setahun lebih awal, tiada kenaikan tol dalam 2-3 tahun

Projek pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dijangka dapat disiapkan pada 2029, iaitu setahun lebih awal daripada jadual asal, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

Pada asalnya, projek berkenaan dijadualkan siap pada 2030 berdasarkan tempoh kontrak pembinaan selama empat tahun. Bagaimanapun, AFA Prime memberi jaminan bahawa kerja-kerja pelebaran lebuh raya itu boleh disiapkan lebih awal pada 2029, kata Nanta.

Projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh AFA Prime dan melibatkan pelebaran jajaran sepanjang 45.3 km di antara Gombak dan Bentong. Ia turut merangkumi pembinaan terowong ketiga sepanjang 999 meter di Genting Sempah, menurut laporan berkenaan.

Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), jumlah trafik di Lebuh Raya KL-Karak telah meningkat dengan ketara daripada sekitar 41,000 kenderaan sehari pada 1997 kepada lebih 135,000 kenderaan sehari pada masa kini. Peningkatan itu menjadi antara faktor yang mendorong pelaksanaan projek pelebaran berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada projek itu, jajaran antara Gombak dan Genting Sempah akan dilebarkan daripada tiga kepada empat lorong. Sementara itu, laluan antara Genting Sempah dan Bentong pula akan dilebarkan daripada dua kepada tiga lorong bagi meningkatkan kapasiti lebuh raya tersebut.

Menurut Nanta, terowong baru berkenaan akan dibina menggunakan kaedah New Austrian Tunneling Method (NATM), yang lebih sesuai dengan keadaan fizikal di lokasi projek. Kaedah tersebut akan digunakan dalam pembinaan terowong ketiga sepanjang 999 meter di Genting Sempah.

Dari segi kadar tol pula, Nanta berkata tiada kenaikan serta-merta akan dikenakan selepas projek berkenaan siap. “Ia tidak akan berlaku serta-merta. Akan ada kenaikan kemudian, tetapi kita masih belum tahu bila. Terma berkenaan telah diperuntukkan dalam kontrak, tetapi tiada kenaikan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang,” kata Menteri Kerja Raya itu.