Puspakom GiCheck Auto Weekend di Aeon Bukit Tinggi 5-6 Sept – pemeriksan kenderaan dan pelbagai aktiviti

Puspakom akan menganjurkan acara GiCheck Auto Weekend 2026 selama dua hari pada 5 dan 6 September ini di AEON Bukit Tinggi, Klang. Bertemakan semangat Merdeka, acara berkenaan menggabungkan pendidikan berkaitan keselamatan kenderaan, kesedaran mengenai kelayakan berada atas jalan raya serta pelbagai aktiviti mesra keluarga dalam satu lokasi yang mudah dikunjungi orang ramai.

GiCheck Auto Weekend akan berlangsung di kawasan letak kereta terbuka berhampiran pusat beli-belah berkenaan dan stesen LRT Bandar Bukit Tinggi. Acara akan dibuka kepada pengunjung dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada kedua-dua hari, manakala aktiviti pemeriksaan kenderaan yang disediakan di lokasi akan beroperasi sehingga jam 6 petang.

Menurut Puspakom, penganjuran acara ini bertujuan membantu orang ramai mengenal pasti potensi masalah pada kenderaan lebih awal, selain memahami kepentingan memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan layak digunakan di jalan raya. Usaha tersebut akan disokong menerusi demonstrasi secara langsung, aktiviti pendidikan serta pengalaman automotif yang lebih praktikal.

Puspakom GiCheck Auto Weekend di Aeon Bukit Tinggi 5-6 Sept – pemeriksan kenderaan dan pelbagai aktiviti

Pada masa sama, Puspakom berkata acara berkenaan turut menjadi platform untuk pihaknya berinteraksi dengan orang ramai dan pelbagai pihak berkepentingan secara lebih dekat. Selain demonstrasi keselamatan yang interaktif dan aktiviti untuk seisi keluarga, pengunjung juga berpeluang melihat pasaran kereta terpakai serta mendapatkan pendedahan mengenai pelbagai inovasi dalam industri automotif.

Bagi pemilik kenderaan yang memenuhi syarat, pemeriksaan turut boleh dilakukan di lokasi menerusi perkhidmatan Mobile Truck Service (MTS) Puspakom. Perkhidmatan berkenaan membolehkan pemeriksaan kenderaan dijalankan menggunakan trak mudah alih yang disediakan sepanjang acara, sekaligus memberi kemudahan tambahan kepada pengunjung yang ingin memeriksa keadaan kenderaan mereka.

Puspakom memaklumkan maklumat lanjut mengenai program penuh, rakan kerjasama yang terlibat, hadiah cabutan bertuah serta pengumuman khas akan didedahkan dalam beberapa minggu akan datang. Orang ramai yang berminat disaran mengikuti perkembangan terkini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang GiCheck Auto Weekend 2026.