Iklan Merdeka 2026 dari BHPetrol yang berjudul “Saya taula…” berjaya meraih perhatian ramai dan mendapat pelbagai komen positif dari netizen di laman media sosial kerana mengangkat semangat bangsa majmuk di Malaysia.
“Kadangkala orang luar lebih tahu apa yang kita sendiri rasa biasa” bait yang dipaparkan pada awal pembukaan layar iklan ini dengan watak seorang atendan pam stesen bernama Shakoor Rahman, warga Bangladesh, lakonan mantap aktor tempatan Fikry Ibrahim. Pastinya ada di antara kita mungkin menganggap jalan cerita iklan ini pasti kelakar bila menatap wajah Shakoor terutamanya jika anda pernah menonton filem ‘Libang Libu’.
Namun tanggapan meleset apabila babak demi babak dipertontonkan termasuk dua orang lelaki warga emas berbangsa Melayu dan Cina yang kononnya bergaduh pasal perlawanan bola sepak, dan beberapa adegan yang menyusul yang pada mulanya ‘nampak agak panas’ namun hakikatnya ia jalinan kemesraan antara satu sama lain tidak kira apa jua bangsa dan agama. Termasuklah adegan seorang pemuda berbangsa Cina tolong membayarkan barangan seorang wanita berbangsa Melayu di kaunter BHPetromart.
Semua adegan ini sebenarnya melambangkan tingkah laku dan sifat saling menghormati antara satu sama lain, bak kata Shakoor, “Dia orang sayanglah…saya taula…” Pada saat, topik berbaur perkauman menyala-yala di laman media sosial termasuk yang diungkapkan oleh segelintir orang politik sendiri, namun hakikatnya, kehidupan realiti di Malaysia tidaklah sebegitu rupa. Kita… tidak kira apa jua bangsa mahu pun agama sebenarnya masih mempunyai semangat dan sikap majmuk dan saling menghormati sesama sendiri. Ya…kitalah bangsa 1Malaysia!
Ternyata iklan yang diarahkan oleh Bobby Husaini dari syarikat penerbitan Tangerine Pictures ini sebenarnya berjaya ‘membedah pandangan orang luar’ terhadap rakyat di Malaysia. Ada perkara yang mereka nampak, sedangkan ada antara kita yang mungkin menidakkan realitinya.
Moga Malaysia kekal aman dan sejahtera dengan adanya semangat perpaduan dan majmuk di kalangan kita semua. Selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-69!








cr7 pergi ke tempat MLS sukan bola sepak sekarang jangan bazir tamak