Jun lalu, Element X Strategies mengumumkan bahawa ia tidak akan memperbahrui lesen penganjuran Tokyo Auto Salon KL (TAS KL) untuk kali keempat yang sepatutnya berlangsung tahun ini. Namun ia sebenarnya bukanlah penamat bagi TAS di sini kerana pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon sendiri iaitu San Ei mengumumkan acara tersebut akan diteruskan, dan kini dikenali sebagai Tokyo Auto Salon Malaysia (TAS Malaysia).
Acara berkenaan akan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober tahun ini, dan akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. Jadi TAS Malaysia akan berlangsung dengan skala lebih besar dan menyajikan lebih dari sekadar pameran di dalam dewan berbanding acara yang dilangsungkan di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur dari 2023 hingga 2025 sebelum ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, San Ei menyatakan bahawa acara ini akan “berevolusi menjadi sebuah festival di mana orang ramai bukan sahaja dapat melihat kereta tetapi juga merasainya, dengan kawasan luar yang luas untuk demonstrasi dan acara langsung yang melengkapi pameran dalaman.”
Bukan itu sahaja, TAS Malaysia nampaknya akan lebih dekat seperti apa yang berlangsung di Makuhari Messe, Tokyo kerana ia turut akan mempamerkan kereta-kereta konsep serta pelancaran produk-produk aftermarket terbaharu. Acara ini juga dijangka akan membawakan sekali perhimpunan kereta-kereta serta budaya penala JDM, sukan permotoran serta demonstrasi drift di kawasan terbuka.
Butiran seperti senarai pempamer dan tetamu istimewa yang hadir akan diumumkan pada selepas ini. Buat masa sekarang penganjur masih lagi sedang menerima permohonan dari pempamer serta kenderaan dari Jepun yang mahu dibawa untuk dipamerkan di acara berkenaan kelak.
Harga tiket juga belum dimuktamadkan, namun ia dijangka akan bermula dari RM48 di mana penjualannya akan bermula akhir Ogos ini. Penganjur turut akan menyediakan tiket Early Bird, pelajar, keluarga, pas masuk awal, barisan pantas untuk pengumpul, kombo akses untuk tiga-hari dan juga pengalaman VIP.
“Tokyo Auto Salon lebih daripada sekadar pameran kereta. Ia merupakan festival yang meraikan kreativiti, kemahiran, inovasi dan komuniti. Kami gembira dapat mengadakannya di Malaysia dengan pengalaman yang lebih besar dan dinamik berbanding sebelum ini, mencerminkan pertumbuhan budaya automotif yang luar biasa di seluruh rantau ini,” kata Junichi Fukui, ketua pengarah Persekutuan Tokyo Auto Salon.
“Evolusi TAS Malaysia lebih daripada sekadar perubahan nama. Ini menandakan permulaan era baharu untuk acara ini. Peralihan dari Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur ke Tokyo Auto Salon Malaysia mencerminkan visi kami untuk membina festival automotif sebenar dengan pengaruh antarabangsa. Matlamat kami adalah untuk mewujudkan acara yang mewakili Malaysia di pentas automotif global, sambil kekal setia kepada tradisi dan piawaian Tokyo Auto Salon,” tambah jawatankuasa penganjur TAS Malaysia.









