Baru-baru ini Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menganjurkan acara Karnival GenBlu di Setia City Convention Centre, Shah Alam. Berakhirnya acara itu, kini satu video melihat kembali apa yang berlaku disiarkan dalam media sosial.
Menariknya berkenaan video itu, ia bukan setakat menunjukkan keadaan waktu acara, tetapi juga diselitkan dengan satu teaser di penghujung, memberi gambaran seakan ada model baru yang akan tiba di pasaran Malaysia.
Bermula dengan susuk seorang penunggang siap dengan sut lumba lengkap berjalan, video itu diikuti penampakan bahagian kokpit motosikal serta nyalaan lampu bahagian hadapannya. Sebagai penutup, tertulis ayat “Jumpa anda di MotoGP.”
Kita boleh melihat dalam teaser itu, motosikal yang ditunjuk adalah model sports, dengan fairing penuh sekaligus mengecilkan skop kepada model R25, R7, R9 atau R1 yang kini berada dalam senarai model yang ditawarkan di pasaran antarabangsa.
Namun di antara semua itu, bahagian kokpit motosikal dalam teaser nampak sama seperti R9, terutamanya apabila anda memberi fokus kepada bahagian atas fork, berserta tempat-tempat pelarasannya. Pencahayaan lampu depan juga begitu, sementara R7 mempunyai panel bahagian bawah lampu serta lampu utama di tengah yang berlainan.
Jika mengikut keadaan sebelum ini, dengan teaser seperti ini, sekiranya HLYM benar-benar membawa R9 semasa MotoGP Sepang 30 Oktober – 1 November nanti, ia mungkin akan dilancar terus berserta dengan pengumuman harga. Namun, kita tidak boleh menolak kemungkinan ia sekadar dipamerkan sahaja.
Yamaha R9 adalah sebuah sportsbike yang menggunakan enjin sama seperti MT-09, iaitu unit CP3 tiga silinder DOHC 890 cc, dengan kuasanya juga masih 119 PS pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm. Ia digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, dan quickshifter dengan dua mod diberikan secara standard.
Bentuk badan yang digunakan oleh Yamaha untuk R9 ini dibangunkan dengan pembangunan aerodinamik teliti, termasuk mengujinya dalam terowong angin. Winglet hadapan sebagai contoh, diberitahu boleh mengelakkan tayar hadapan daripada terangkat semasa memecut di jalan lurus sehingga tujuh peratus, dan apabila digabungkan bersama spoiler di muncungnya, boleh meningkat sehingga 10% sewakt mengambil selekoh.
Perhatian turut diberi pada bahagian suspensi dengan perkakasan daripada Kayaba, yang terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock dibelakang – kedua-duanya datang dengan pelarasan penuh. Untuk brek, Yamaha meletakkan cakera berkembar 320 mm dengan angkup monobloc Brembo Stylema empat piston di hadapan, dan prestasinya dipertingkat lagi dengan master cylinder juga daripada Brembo serta hos stainless steel braided.
Sistem elektronik serba lengkap untuk motosikal sports diberikan pada R9, bermula dengan tiga tetapan mod tersedia, dua mod boleh ubah dan empat mod trek. Kemudiannya, ia ditambah lagi dengan sistem Power Delivery (PWR), Traction Control (TCS), Slide Control System (SCS), Brake Control (BC), Back Slip Regulator (BSR), Engine Brake Management (EBM), Cruise Control, Lift Control (LIF) dan Launch Control.
Semua sistem ini boleh dikawal melalui butang di bahagian pemegang dan dipaparkan pada panel instrumen TFT lima inci yang disediakan di bahagian kokpit – juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi MyRide.
Tidak cukup dengan itu, pengguna juga boleh menyambungkan motosikal ini dengan aplikasi Y-Trac yang dapat memberikan pelbagai data tunggangan berserta GPS. Melaluinya, pengguna dapat mengetahui informasi seperti sudut condong, tahap rpm, kelajuan, kedudukan gear, bukaan pendikit serta pelbagai lagi dalam sesuatu masa semasa dalam litar.
GALERI: Yamaha R9









