Polis Kuala Lumpur memaklumkan bahawa beberapa jalan utama di sekitar Putrajaya ditutup bermula hari ini, 26 hingga 31 Ogos sempena raptai penuh dan sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
“Semasa Raptai Skeleton 26 hingga 28 Ogos 2026, penutupan penuh sepanjang Persiaran Perdana bermula Jalan Kemerdekaan hingga Lebuh Bestari. Penutupan jalan semasa raptai 28 dan 29 Ogos 2026 akan bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan lapan jalan iaitu Dataran Putra, Persiaran Perdana, Laman Perdana, Jalan P2a, Jalan P2t, Jalan P2s, Jalan P2w dan Jalan P2y,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Haji Fadil Haji Marsus.
Manakala pada 30 Ogos 2026 pula, penutupan jalan bermula jam 5 pagi sehingga 31 Ogos 2026 jam 6 petang secara sepenuhnya melibatkan ‘Core Island’ dan jalan terlibat adalah Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Putra dan Jambatan Seri Ehsan.
Selain itu, beberapa jalan juga terlibat iaitu Lebuh Bestari, Lebuh Setia, Lebuh Saujana, Lebuh Gemilang, Lebuh Wawasan Lebuh Sentosa, alan Tun Hussein. Persiaran Barat dan Persiaran (Pssaas).
Bagi penduduk sekitar ‘Core Island’ P18, jalan yang hanya dibuka iaitu melibatkan Jambatan Seri Bestari dan Jambatan Seri Setia.
“Pihak polis ingin menegaskan bahawa Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah kawasan larangan menerbangkan dron. Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan dari pihak berkuasa semasa persiapan dan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 diadakan. Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang ingkar kepada arahan larangan selaras dengan Peruntukkan Peraturan 143 (Peraturan Penerbangan Awam 2016) dan juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 206 (3) Peraturan Penerbangan Awam.
“Seramai 2,357 orang pegawai dan anggota PDRM akan ditempatkan di Putrajaya bagi menjaga kawalan keselamatan dan kawalan trafik dengan jangkaan kehadiran pengunjung seramai 80,000 orang. Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan, tiba awal di tapak Sambutan Hari Kebangsaan selain dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam iaitu bas ulang-alik (Shuttle Bus) yang disediakan secara percuma,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan tembakan meriam sempena sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 pada hari raptai penuh jam 8 pagi pada 29 Ogos (Sabtu) ini bertempat di Lot 3C1, Presint 3 (Tapak Bazar Ramadan Putrajaya). Manakala pada hari sambutan pada 31 Ogos pula, tembakan meriam akan dilaksanakan di lokasi yang sama jam 8 pagi.
“Penduduk di Putrajaya dan sekitarnya dinashatkan agar tidak panik atau cemas apabila terdengar tembakan meriam yang merupakan salah satu pengisian dalam majlis sambutan,” katanya.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi segala arahan keselamatan dan kawalan yang ditetapkan serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas keselamatan sepanjang berada di lokasi sambutan. Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membawa sebarang barangan terlarang atau berbahaya ke lokasi sambutan, selain sentiasa menjaga keselamatan diri, keluarga dan barangan peribadi, khususnya ketika berada di kawasan yang sesak.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan atau di lokasi yang boleh menyebabkan gangguan kepada kelancaran lalu lintas. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan aspek keselamatan, ketenteraman aam dan kelancaran lalu lintas sepanjang sambutan dapat dikekalkan.










