Sebanyak RM17.5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur jalan raya di seluruh daerah Sepang, termasuk laluan-laluan utama yang dijangka digunakan sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini, laporan New Straits Times.
Daripada jumlah tersebut, RM16 juta diperuntukkan bagi laluan termasuk FT26, FT27 dan FT29, manakala RM1.5 juta lagi diperuntukkan untuk laluan B48, kata Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Menurut laporan itu, peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendapatkan pembiayaan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), khususnya bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta kualiti infrastruktur di kawasan berkenaan.
“Kerja-kerja naik taraf jalan raya dijangka siap pada pertengahan September bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar sebelum perlumbaan F1 bermula,” kata Aiman Athirah.
Berhubung aduan mengenai jalan yang kurang pencahayaan serta lampu jalan yang tidak berfungsi, perkara tersebut turut sedang diberi perhatian kerana beberapa kawasan di daerah berkenaan, termasuk Cyberjaya, masih tidak mempunyai pencahayaan yang mencukupi, kata Aiman Athirah yang juga merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Bagi kawasan Sepang khususnya, saya difahamkan laluan B48 kebanyakannya digunakan oleh kenderaan berat. Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, kerosakan boleh berlaku semula walaupun jalan telah dibaiki.
“Sebab itu saya sendiri membuat pemeriksaan terhadap kualiti kerja yang dijalankan, termasuk ketebalan turapan jalan, bagi memastikan kerja-kerja naik taraf ini dapat bertahan lebih lama dan bukan sekadar penyelesaian sementara,” katanya.
Kerja-kerja naik taraf di daerah berkenaan diketuai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sepang, manakala projek-projek lain termasuk fasa kedua kerja naik taraf laluan B48 sedang dilaksanakan, kata Ahli Parlimen Sepang itu.









