Pengeluar yang melabur lebih banyak untuk lokalisasi, R&D akan nikmati insentif lebih baik di bawah NCM

Kerajaan menjelaskan bahawa Mekanisme Insentif Penyesuaian Baru (NCM) yang akan datang bakal menjadikan lokalisasi sebagai pertimbangan utama dalam menentukan insentif yang akan dinikmati untuk sesebuah syarikat pengeluar automotif di Malaysia. Pendekatan ini adalah untuk menggalakkan kerja-kerja lokalisasi, dan mekanisme berkenaan akan memberi ganjaran kepada pengeluar kenderaan yang membangunkan model kenderaan mereka di negara ini dengan insentif cukai yang lebih besar, jelas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin.

“Jika melakukan lebih banyak kerja-kerja lokalisasi, anda akan menikmati lebih banyak pengecualian cukai. Jika menjalankan kerja-kerja pembangunan bakat, R&D, atau perkara seperti itu, maka anda akan mendapat lebih banyak pengurangan cukai,” katanya di luar Ekspo Automotif dan Teknologi Global (GATE) 2026 semalam.

Beliau berkata insentif itu boleh merangkumi dalam bentuk pengurangan duti eksais, dengan syarikat yang menyumbang lebih banyak kepada ekosistem automotif Malaysia berpotensi menerima faedah yang lebih besar, lapor The Star. “Lebih banyak mereka lakukan di sini, meka lebih baiklah mereka,” katanya.

Pengeluar yang melabur lebih banyak untuk lokalisasi, R&D akan nikmati insentif lebih baik di bawah NCM

Beliau juga berkata, kerajaan mahu pengeluar kenderaan menjalankan lokalisasi komponen, terutamanya komponen yang kritikal, sambil melabur dalam penyelidikan dan pembangunan serta membangunkan bakat tempatan. “Kami mahukan lokalisasi sebenar. Objektifnya adalah untuk memastikan berlangsungnya lokalisasi sebenar,” katanya, mengulangi apa yang dikatakan oleh menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bulan lalu.

Sim menjelaskan, NCM akan meliputi insentif untuk kedua-dua kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan juga kenderaan elektrik (EV) apabila ia diperkenalkan nanti. Beliau menambah, bahawa mekanisme yang dirombak itu akan dipermudahkan untuk menjadikannya kurang kompleks bagi perniagaan, sambil mengekalkan tumpuannya terhadap lokalisasi.

Beliau berkata pendekatan itu bertujuan untuk menggalakkan pengeluar kereta membina kehadiran yang lebih berkesan dan mendalam di Malaysia berbanding terlalu bergantung pada import, sambil membantu mengukuhkan rantaian bekalan automotif negara. Beliau juga menambah bahawa insentif yang lebih besar terhadap tahap lokalisasi yang lebih tinggi akhirnya boleh diterjemahkan kepada kenderaan yang lebih murah untuk pengguna Malaysia.

Perincian mekanisme yang disemak semula itu masih diperhalusi dan masih belum dimuktamadkan, namun Sim menjelaskan bahawa pihak kementerian akan mengadakan sesi libat-urus bersama pemain industri sebelum pelaksanaannya. “Dasar yang baik memerlukan sedikit masa, dan kami tentunya akan mula berinteraksi dengan industri,” katanya.

Pelaksanaan NCM yang telah diusahakan sejak sekian lama, dijadualkan mula dilaksanakan tahun depan, seperti yang ditegaskan semula oleh Sim. “Mulai tahun depan dan seterusnya, mekanisme penyesuaian baru akan diperkenalkan,” katanya.