Perodua: Model ICE baru bakal masuk produksi Q2 2027; Myvi D01D atau Bezza FL dahulu tiba tahun depan?

Pembekal automotif Tahap-1 tempatan, MCE Holdings telah mengumumkan bahawa syarikat itu telah memperoleh kontrak bekalan bernilai RM54.28 juta dengan Perodua, sah selama 40 bulan atau tiga tahun.

Syarikat itu memaklumkan ia akan menyediakan pelbagai komponen elektronik dan mekatronik automotif — seperti paparan audio, kamera undur dan komponen berkaitan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) — untuk model enjin pembakaran dalaman (ICE).

Pengeluaran dijadualkan bermula melalui anak syarikat Multi-Code Electronics Industries pada suku keempat tahun kewangan yang berakhir pada 31 Julai 2027, yang bermaksud suku kedua tahun kalendar akan datang. Komponen tersebut akan dibina di Hab Auto MCE bernilai RM4.95 juta yang baru dilancarkan oleh kumpulan itu di Serendah, Selangor.

Perodua: Model ICE baru bakal masuk produksi Q2 2027; Myvi D01D atau Bezza FL dahulu tiba tahun depan?

Projek tersebut menandakan kali pertama firma itu membekalkan paparan audio kenderaan dan komponen berkaitan ADAS untuk kenderaan ICE, selepas kontraknya untuk menyediakan komponen sedemikian bagi QV-E EV terdahulu. Ini meluaskan lagi “portfolio komponen dan sistem bernilai lebih tinggi,” jelasnya dalam satu kenyataan.

“Hubungan kami yang telah lama terjalin dengan Perodua telah memberikan peluang kepada kami untuk berkembang bersama syarikat itu, serta membolehkan MCE untuk secara progresif mengendalikan produk yang lebih canggih, membina keupayaan reka bentuk dan pembuatan yang sekali gus membolehkan kami untuk meningkatkan rantaian nilai automotif syarikat yang sedia ada,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan, Goh Kar Chun.

Kontrak bekalan bukanlah sesuatu yang baru, dan bukan juga kali pertama untuk pembekal memecahkan berita berkaitan produk akan datang oleh pengeluar kenderaan nasional. Ini sekali gus seperti mengesahkan bahawa tidak akan ada model baru yang akan diperkenalkan oleh Perodua tahun ini — selepas memperkenalkan dua model serba baru tahun lalu, QV-E dan juga Traz.

Perodua: Model ICE baru bakal masuk produksi Q2 2027; Myvi D01D atau Bezza FL dahulu tiba tahun depan?

Mengenai model yang akan datang ini, ada dua kemungkinan: Myvi dan Bezza semasa ketika ini masing-masing sudah berusia lapan dan sepuluh tahun, dan khabar angin tentang generasi seterusnya bagi kedua-dua model itu telah bertiup sejak sekian lama. Daripada kedua-dua model tersebut, Myvi lebih memerlukan pembaharuan segera (generasi keempat, dengan kod nama D01D), memandangkan Bezza masih lagi laku keras dalam pasaran dalam penawaran sedia ada.

Satu teaser untuk model baru ini telah ditunjukkan di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS), yang memberikan beberapa petunjuk reka bentuk yang diilhamkan oleh QV-E. Jika garis masa yang dinyatakan ini benar, makan Proton akan mempunyai banyak masa untuk mengembangkan peratusan perkongsian pasaran mereka sementara Perodua mempersiap model terbaru ini.

Bezza generasi seterusnya pula dijangka tidak akan tiba sebelum tahun 2030, dan sebaran kemaskini besar-besaran pasti akan dapat memuaskan hati pembeli sementara model generasi barunya diperkenalkan. Jika inilah model yang akan diperkenalkan dahulu, maka kemungkinannya Bezza akan diberikan naik taraf major seperti enam-beg udara. Melihat kepada tempoh kontrak dan masa yang singkat itu, masuk akal juga kontrak yang dimaksudkan ini adalah untuk Bezza yang dinaik taraf.

Dengan pembekal sistem infotainmen dan ADAS tempatan bermula dengan QV-E, ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Perodua sedang mengendalikan kawalan yang lebih luas ke atas sistem tersebut.

Pada masa ini, model ICE Perodua menggunakan ciri bantuan pemandu daripada Daihatsu, manakala sistem dalam QV-E dibangunkan sendiri, seperti kebanyakan kereta. Memandangkan Perodua semakin berpengalaman dalam membangunkan model tempatannya sendiri, maka komponen yang dibekalkan oleh Daihatsu selepas ini mungkin hanya enjin dan kotak gear — komponen lain dihasilkan sendiri oleh Perodua.

Model baru itu juga hampir pasti akan terus menggunakan rangkaian enjin empat-silinder NR dari Toyota/Daihatsu, yang ditawarkan dalam dua varian, 1.3 liter 1NR-VE (95 PS) dan 1.5 liter 2NR-VE (103 PS) dan digandingkan dengan CVT Dwi-Mod (D-CVT).

Perodua juga mempunyai aspirasi untuk membawa rangkaian kuasa hibrid ke pasaran, dan model baru ini boleh menjadi batu loncatan yang tepat. Ia boleh menggunakan sama ada Daihatsu e-Smart Hybrid — yang menggunakan motor elektrik untuk pemacu dengan enjin pembakaran bertindah hanya generator kuasa — atau sistem Toyota yang digunakan untuk Vios dan Yaris Cross hibrid di sini. Bagaimanapun, model Ativa Hybrid yang akan menjadi model hibrid pertama untuk Perodua, sebelum teknologi sama mungkin diperturunkan kepada model-model lain pada masa hadapan.