Seri Kembangan bakal dapat tiga jalan baharu – Bukit Serdang, Tmn Universiti Indah, Tmn Puncak Jalil

Berita baik untuk mereka yang menetap di Seri Kembangan dan kawasan sekitarnya. Kawasan kejiranan berkenaan bakal menerima beberapa jalan baharu bagi meningkatkan hubungan antara lokasi serta mengurangkan kesesakan trafik dengan mengagihkan aliran kenderaan ke laluan alternatif.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata jalan-jalan yang dicadangkan itu melibatkan laluan dari Taman Universiti Indah ke Taman Bukit Serdang, sambungan Jalan Cemara ke Jalan Inovasi 8 (dalam kawasan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation) serta jalan yang menghubungkan Bukit Serdang Seksyen 11 dengan Taman Puncak Jalil.

Bagi laluan pertama, kajian kebolehlaksanaan kini sedang dijalankan dan dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi. Sementara itu, kajian serta perancangan bagi laluan kedua, yang merupakan kerjasama antara Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sedang dilaksanakan.

Bagi jalan ketiga pula, laluan tersebut akan merentasi Lebuhraya MEX, manakala kajian dan perancangan berkaitan struktur jalan berkenaan masih dijalankan. Izham mendedahkan perkara itu ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada awal bulan ini, laporan The Star.

Beliau turut berkata bahawa kerajaan negeri telah meluluskan Pelan Strategik Pembangunan Jalan dan Lebuhraya Selangor 2035. “Pelan ini akan menjadi rujukan utama negeri dalam mengenal pasti jalan-jalan yang perlu dinaik taraf dan diperluaskan, serta pautan jalan yang masih terputus dan perlu dibina,” katanya.