Volvo ES90 dilancarkan untuk pasaran Malaysia Januari lalu, dan kini, tidak sampai satu tahun, Volvo Car Malaysia memperkenalkan model tahun 2027 yang diberikan beberapa kemas kini. Ketibaan model ini diumumkan ketika pelancaran Volvo EX90 2027 beberapa minggu lalu dan sekarang kami bawakan galeri penuh sedan crossover elektrik tersebut.
Dari segi mekanikal, spesifikasi utama ES90 kekal sama bagi tahun model 2027. Model ini masih ditawarkan dalam varian Ultra Single Motor Extended Range, menggunakan satu motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang. Sistem tersebut menghasilkan kuasa 333 PS dan tork 480 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum terhad 180 km/j.
Motor elektrik berkenaan mendapat tenaga daripada bateri NCM (nickel cobalt manganese) berkapasiti 92 kWh. Bateri ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW, dengan pengecasan 10-80% mengambil masa sekitar 22 minit. Pengecasan AC pula menyokong kuasa sehingga 11 kW dan memerlukan kira-kira 10 jam untuk mengecas daripada 0-100%.
Satu peningkatan yang ketara ialah jarak perjalanan, yang kini meningkat kepada 662 km mengikut piawaian WLTP, berbanding 651 km sebelum ini. Peningkatan sebanyak 11 km itu berkemungkinan berkait dengan penggunaan rim 21 inci baru, menggantikan rim 22 inci yang digunakan oleh ES90 sebelum ini.
Bahagian kabin turut menerima perubahan apabila balutan kulit Nappa kini digunakan bagi menggantikan kemasan sintetik Nordico. Ia ditawarkan dalam pilihan warna Charcoal atau Cardamom, kedua-duanya dipadankan dengan kemasan kayu birch pada bahagian dalaman. Kombinasi warna kulit yang sama turut ditawarkan pada EX90 2027.
Pilihan warna luaran juga dikemas kini dengan dua warna baru, iaitu Mulberry Red seperti yang ditampilkan pada model ini serta Aurora Silver. Kedua-duanya melengkapkan pilihan sedia ada Onyx Black, Crystal White dan Vapour Grey, manakala warna Denim Blue pula tidak lagi ditawarkan untuk ES90 tahun model 2027.
Sistem infotainmen ES90 turut menerima peningkatan dengan sokongan Android Auto tanpa wayar. Ciri ini melengkapkan Apple CarPlay tanpa wayar yang sememangnya sudah tersedia sebelum ini, membolehkan pengguna menyambungkan telefon pintar ke sistem kereta tanpa memerlukan kabel.
Bagi harga, Volvo ES90 2027 kekal pada RM339,888 atas jalan tanpa insurans, sama seperti model sebelumnya. Bagaimanapun, pembeli kini boleh menikmati rebat tunai sehingga RM17,600 serta sebuah wallbox Volvo bernilai RM3,990, menjadikan jumlah nilai tawaran yang diberikan mencecah sehingga RM21,590.



Volvo ES90
dari RM339,888
Volvo XC60
dari RM328,888
Volvo XC90
dari RM418,888
Volvo EX90
dari RM428,888
Volvo EX30
dari RM198,888
Volvo EC40
dari RM248,888
Volvo XC40
dari RM268,888