Mazda CX-6e akan dilancar di Thailand 7 Okt ini – CBU China, jarak gerak 484 km WLTP, anggaran lebih RM120k

Selepas membuat kemunculan sulungnya di Bangkok International Motor Show (BIMS) Mac lalu, SUV Mazda CX-6e akhirnya sah akan dilancarkan di negara berkenaan pada minggu hadapan, 7 Oktober 2026. Menurut laporan Autolifethailand, model tersebut akan ditawarkan di Thailand hanya dengan pilihan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV), dan diimport sepenuhnya (CBU) dari China.

Mazda CX-6e ini dijangka akan dijual pada harga lebih RM1 juta baht (RM120,000), dan ia akan tertakluk kepada kaedah pengiraan duti eksais baharu EV CBU Thailand, yang dilaporkan oleh Reuters bahawa ia akan dinaikkan kepada sekitar 30%. Angka muktamad akan diumumkan pada penghujung bulan ini, di mana pengeluar kenderaan perlu menyesuaikan diri dengan rejim cukai baharu tersebut dalam tempoh peralihan yang diberikan.

Mazda CX-6e ini sebenarnya merupakan model yang dibangunkan oleh Mazda bersama pengeluar automotif China iaitu Changan, diasaskan dari model Deepal S07. Di China ia turut dijual dalam versi PHEV, namun untuk pasaran Thailand CX-6e ini hanya ditawarkan dalam versi EV motor elektrik tunggal.

Ia menerima motor elektrik berkuasa 190 kW (258 PS) dan tork maksima 290 Nm bagi memacu hanya roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat serta mencatatkan kelajuan maksima 185 km/j. CX-6e ini dibekalkan dengan bateri LFP berkapasiti 78 kWj, memberikan jarak gerak sejauh 484 km dalam kitaran ujian WLTP.

Mazda CX-6e akan dilancar di Thailand 7 Okt ini – CBU China, jarak gerak 484 km WLTP, anggaran lebih RM120k

Untuk mengecas, Mazda CX-6e ini boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 195 kW, yang membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam masa sekitar 24 minit. Bagi pengecasan AC pula, ia menyokong sehingga 11 kW membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa sekitar 8.5 jam.

CX-6e ini menampilkan rekaan tersendiri dari Mazda bagi membezakannya rupanya berbanding versi asal Deepal S07. Ia menerima elemen “kepak” bercahaya yang mengapit gril hadapan dan bersambung ke lampu nyalaan siang yang tirus, bersama panel overfender serta tiang C berwarna hitam berkilat yang mewujudkan kesan seakan bumbung terapung, memberikan rupa seakan Mazda3 Hatchback tetapi dengan saiz yang lebih besar. Varian tertinggi CX-6e ini turut diberikan kamera pandang sisi serta rim aloi 21-inci yang mengurangkan jarak geraknya kepada 468 km.

Kabin SUV ini pula diserlahkan dengan skrin infotainmen bersaiz besar 26 inci yang merentangi bahagian tengah hingga ke sisi penumpang hadapan. Tidak banyak suis-suis kawalan fizikal pada papan pemuka model ini kerana kebanyakan fungsi kenderaan termasuk sistem penyaman udara telah dipindahkan ke skrin gergasi berkenaan, di mana ia turut menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta sistem arahan suara “Hey Mazda”.

Selain itu, ia turut menerima upholsteri kulit sintetik Maztex dalam pilihan warna hitam, beige atau dua tona gandingan Amethyst dan putih bagi disesuaikan dengan warna ungu di luar, lampu suasana dengan 256-warna, sistem bunyi 23-pembesar suara – termasuk yang diletakkan pada perehat kepala tempat duduk hadapan yang boleh dipisahkan antara kiri dan kana menerusi hubungan Bluetooth.

Mazda CX-6e akan dilancar di Thailand 7 Okt ini – CBU China, jarak gerak 484 km WLTP, anggaran lebih RM120k

Selain itu ia juga menerima bumbung kaca panaromik, ruang storan bonet depan 80 liter, manakala ruang but belakang hanya menyediakan kapasiti storan sebesar 363 liter – boleh dibesarkan sehingga 1,434 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya.

Manakala untuk keselamatan, CX-6e ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta dengan pengelak pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran bukaan pintu, bantuan had laju serta pengingat tempat duduk belakang yang lengkap dengan pengesan kanak-kanak berasaskan kamera.

Selain dari SUV CX-6e ini, Mazda juga sebenarnya sudahpun melancarkan satu lagi model yang dibangunkan bersama Changan iaitu sedan Mazda 6e (berdasarkan Deepal L07) di Thailand serta beberapa pasaran ASEAN lain seperti Singapura dan Indonesia. Namun bagi peminat di Malaysia yang berminat dengan dua model ini mungkin hanya boleh ‘telan air liur’ sahaja.

Ini kerana dengan polisi terbaharu yang diumumkan oleh kerajaan mungkin agak sukar untuk menetapkan harga yang kompetitif sekiranya model ini di bawa ke sini dalam versi diimport sepenuhnya (CBU), kecuali sekiranya Bermaz ada rancangan untuk memasangnya secara tempatan (CKD) dan turut mengeksportnya keluar bagi memastikan skala ekonomi yang cukup untuk menampung pelaburan yang dibuat.

GALERI: Mazda CX-6e di BIMS 2026

Tags: