Proton S70 ‘Rahmah’ dah pun dilancarkan, dan tak lama lagi Proton bakal ‘mengugurkan’ satu lagi ‘bom’ ke pasaran automotif tempatan dengan satu model SUV mampu milik diasaskan dari platform Advance Modular Architecture (AMA) yang sama dengan Proton Saga MC3 – jika sebelum ini unit-unit prototaip berkenaan ‘berkeliaran‘ dengan pelekat penyamaran yang menutup rupa sebenar rupa SUV tersebut, tapi kali ini ia ‘menjelma’ dengan penyamaran lebih ringan yang hampir mendedahkan identiti penuhnya!
Buat masa sekarang model ini hanya dikenali dengan kod AMA02, dan beberapa khabar menyatakan ia mungkin akan dijual dengan nama Proton Saga Cross atau Proton X30 – beberapa unit ujian dengan pelekat penyamaran ini singgah d Proton Hoi Keen 4S Kuantan seolah-olah memang mahu memberikan pendedahan kepada orang awam. Imej-imej ini dirakam dan dimuat naik di laman Threads oleh @khaidirrokawa dan @rostamyusof.
Penyamaran yang lebih ringkas ini mendedahkan AMA02 berkenaan diberikan lampu hadapan projektor dengan kluster yang direka nipis dan bersegi, bersama gril hadapan heksagon dengan elemen pin sepeti batu berlian. Satu lagi gril lebih kecil di bawah dengan biasan terbalik membentuk huruf-X pada bampar hadapan tersebut.
Pada bahagian sisi, SUV ini menerima garis bahu pada fender hadapan yang berakhir pada sebahagian kecil pintu hadapan, dan di belakang juga berakhir di sebahagian kecil pintu belakang bagi memberikan imej seakan otot-otot.
Manakala garis bawah cermin tingkat sisi direka ternaik pada bahagian belakang, dan ia bersambung dengan cermin belakang SUV ini. Pelindung-pelindung badan juga diberikan pada setiap ruang roda yang bersambung dengan bendul sisi yang tebal, manakala pada tiang-C turut terdapat perapi yang memberikan kesan seakan bumbung SUV ini direka terapung.
Lampu belakang AMA02 ini juga direka nipis dan bersegi. Ia turut datang dengan spoiler bumbung belakang yang besar bersama kemasan bawah bampar belakang seakan skid plate yang tebal. Rel bumbung juga diberikan bagi melengkapkan rupa lasak SUV ini.
View on Threads
Video unit prototaip yang sedang bergerak ini pula dirakam dan dimuat naik di laman Threads oleh @anffwiee.
View on Threads
Video kedua yang turut menunjukkan unit prototaip di jalan raya ini pula dimuat naik di laman Threads oleh @harithizzddn.
View on Threads
Video ketiga yang menunjukkan beberapa unit prototaip bergerak bersama-sama ini pula dimuat naik di laman Threads oleh @ch3mmm.
Gambar-gambar tiga unit prototaip di sebuah stesen minyak Petronas ini pula dirakam dan dimuat naik di laman Threads oleh @uddin.amii.
Menerusi beberapa perincian yang telah Proton dedahkan sebelum ini, AMA02 turut akan digerakkan oleh enjin i-GT 1.5 liter empat silinder NA yang sama seperti Saga MC3, menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Untuk AMA02, enjin berkenaan hanya akan digandingkan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan 4AT dari Aisin, tanpa pilihan transmisi CVT dari Punch.
Juga dijangka varian tertinggi SUV ini akan menerima unit rangkaian kuasa hibrid Proton HEV yang telah didedahkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 dan juga Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2026.
Unit rangkaian kuasa Proton HEV tersebut menggandingkan enjin 1.5 liter empat silinder NA kitaran Atkinson menghasilkan kuasa 111 PS dan tork maksima 136 Nm dan juga transmisi khusus hibrid (DHT) kelajuan tunggal 11-dalam-1 yang dilengkapi dua buah motor elektrik di dalamnya.
Motor pertama yang lebih kecil dikenali sebagai motor P1, di mana motor ini berfungsi sebagai stater-generator iaitu untuk menghidupkan enjin petrol dengan lancar tanpa terasa sebarang getaran, dan juga untuk menjana semula tenaga elektrik untuk disimpan ke dalam bateri hibrid ketika kereta membrek atau nyahpecut.
Manakala untuk motor utama dalam unit DHT unit rangkaian kuasa HEV berkenaan dikenali sebagai motor P3. Motor ini boleh memacu terus roda hadapan, dan dengan klac dan set gear yang disediakan, ia turut boleh bersambung dengan enjin petrol untuk memacu roda bersama.
Proton belum memperincikan spesifikasi motor P3 yang dibekalkan. Namun sebelum ini Proton ada mengesahkan bahawa unit rangkaian kuasa HEV ini menerima DHT dalam varian DHT120, di mana angka ‘120’ berkenaan merujuk kepada kuasa yang dihasilkan iaitu 120 kW, atau 163 PS. Secara ringkas, unit rangkaian kuasa ini berfungsi seperti unit rangkaian kuasa eMas 7 PHEV, namun dibekalkan dengan bateri yang jauh lebih kecil dan tidak mempunyai port pengecas seperti EV.
Proton AMA02/Saga Cross/X30 ini disasarkan untuk memberikan saingan terus kepada Perodua Ativa, jadi boleh dijangka Proton akan meletakkan harga yang kompetitif berbanding lawannya itu. Salah satu vendor Proton sebelum ini ada menyebut bahawa SUV berkenaan akan mula diproduksi pada suku keempat tahun ini. Jadi dengan kemunculan unit prototaip yang seakan sengaja mendedahkan rupanya ini merupakan satu lagi petanda bahawa ia akan dilancarkan tidak lama lagi.









Proton Saga
dari RM38,990
Proton S70
dari RM59,800
Proton X90
dari RM106,800
Proton eMas 7 PHEV
dari RM109,800
Proton X70
dari RM106,800
Proton eMas 5
dari RM59,800
Proton X50
dari RM89,800
Proton eMas 7
dari RM103,800