BYD Sealion 7 2026 EV dilancarkan di Malaysia — bateri 91.3 kWh, varian Dynamic terbaru, dari RM163,800

BYD Sime Motors hari ini rasmi melancarkan model BYD Sealion 7 2026 untuk pasaran tempatan. Kurang dua tahun selepas pertama kali dilancarkan di Malaysia, BYD Sealion 7 2026 kini menawarkan beberapa peningkatan spesifikasi serta tambahan varian untuk pelanggan. Penawarannya adalah seperti berikut:

  • Sealion 7 Dynamic (RWD) – RM163,800
  • Sealion 7 Premium (RWD) – RM188,800
  • Sealion 7 Performance (AWD) – RM203,800

Pengenalan kali ini memperkenalkan varian Dynamic terbaru dengan binaan 400 V — dengan harga RM163,800 — yang menjadi penawaran paling asas SUV berkenaan. Bertujuan untuk melebarkan lagi akses pasaran terhadap EV ini, sistem janaan kuasa varian Dynamic ini memberikan janaan motor tunggal 245 PS (241 hp, atau 170 kW) dan 380 Nm. Ia juga dilengkapi dengan kapasiti bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 71.8 kWh oleh BYD sendiri, dan memberikan jarak perjalanan sehingga 520 km NEDC (sekitar 440 km WLTP) — dengan janaan roda belakang.

Untuk pengecasan, ia mampu menampung pengecasan pantas DC sehingga 110 kW. Ini membolehkan pengecasan bagi SoC 30%-80% dilakukan dalam masa hanya 21.5 minit. Pecutan 0-100 km/j varian ini boleh dicapai dalam masa 7.3 saat. Untuk ruang barangan, bahagian depan kereta ini menyediakan kapasiti 58 liter (sama untuk semua varian yang ada), sementara bahagian belakang Dynamic ini tersedia 500 liter, atau 1,769 liter jika penyandar belakang direbahkan.

Dynamic dipasangkan tayar Continental Eco Contact 6 dengan saiz rim 19-inci — tayar depannya hadir dengan profil 235/50 R19, manakala tayar belakang 255/45 R19.

BYD Sealion 7 2026 EV dilancarkan di Malaysia — bateri 91.3 kWh, varian Dynamic terbaru, dari RM163,800

Bagi dua varian yang ditawarkan sebelum ini — Premium dan Performance — kedua-duanya kini diberikan peningkatan dan kini hadir dengan bateri Blade LFP dengan kapasiti 91.39 kWh oleh BYD sendiri, lebih tinggi berbanding kapasiti sebelum ini yang hanya memberikan 82.56 kWh.

Untuk Premium yang dijual dengan harga RM188,800, varian ini menggunakan binaan elektrik 800V yang memberikan janaan sebanyak 313 PS (308 hp, atau 230 kW) dan 380 Nm. Pengecasan pantas DC-nya juga dipertingkat dan mampu menampung sehingga 230 kW (berbanding 150 kW sebelum ini), membolehkan pengecasan dari SoC 30%-80% dalam masa hanya 18.5 minit. Jarak yang boleh dicapai dengan satu cas penuh pula adalah sekitar 650 km NEDC. Janaan tersebut juga membolehkan varian Premium mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Varian ini juga merupakan pacuan roda belakang.

Sama seperti varian Dynamic, Premium juga dipasangkan tayar Continental Eco Contact 6 dengan saiz rim 19-inci — tayar depannya hadir dengan profil 235/50 R19, manakala tayar belakang 255/45 R19.

BYD Sealion 7 2026 EV dilancarkan di Malaysia — bateri 91.3 kWh, varian Dynamic terbaru, dari RM163,800

Bagi varian Performance yang dijual dengan harga RM203,800, ia menggunakan kapasiti bateri yang sama tetapi dengan janaan kuasa yang lebih tinggi berbanding Premium — janaan keseluruhan sistem yang dihasilkan ialah 523 hp (530 PS, atau 390 kW) dan 690 Nm tork.

Jarak perjalanan yang diberikan bagaimanapun sedikit kurang (sebaliknya memberi prestasi yang lebih tinggi) berbanding Premium dengan 600 km. Tempoh pengecasannya adalah sama seperti varian Premium, dengan SoC 30%-80% dalam masa 18.5 minit. Ini membolehkan varian Performance memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat, selain ia juga dilengkapi pacuan semua roda. Membezakannya daripada Premium juga ialah angkup brek merah serta rim yang lebih besar dengan 20-inci (profil tayar 245)

Ruang barangan juga dipertingkatkan untuk Premium dan Performance bagi versi tahun 2026 ini, dengan memuatkan 520 liter kapasiti barangan di belakang, atau 1,789 liter jika penyandar direbahkan. Sistem audio Dynaudio dengan 12-pembesar suara juga diberikan untuk dua varian lebih tinggi ini.

BYD Sealion 7 2026 EV dilancarkan di Malaysia — bateri 91.3 kWh, varian Dynamic terbaru, dari RM163,800

Khusus untuk varian Performance, ia hadir dengan tayar Michelin Pilot Sport EV dengan saiz rim lebih besar, 20-inci — dengan profil tayar 245/45 R20 untuk depan dan belakang.

BYD Sealion 7 2026 mempunyai ukuran dimensi 4,830 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,620 mm tinggi dengan jarak roda 2,930 mm. Bagi aspek keselamatan, semua varian dilengkapi dengan sembilan beg udara, dan juga ciri ADAS yang antara terdiri daripada fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Emergency Lane Keeping Assist (ELKA), Automatic Emergency Braking (AEB), Blind Spot Detection (BSD) dan lain-lain. Varian Dynamic bagaimanapun tidak dilengkapi dengan dua ciri ini: Driver Attention Warning (ADW) dan Windshield Head-Up Display (W-HUD).

Pilihan warna yang tersedia terdiri daripada satu tambahan warna baru, Ultraviolet yang ditawarkan hanya untuk varian Premium. Empat lagi pilihan warna yang ada termasuklah Aurora White, Shark Grey, Cosmos Black dan Atlantis Grey.

Dari segi harga yang dikenakan, Dynamic memberikan akses dengan harga yang lebih rendah untuk model ini, tetapi untuk dua varian lebih tinggi, ia sebenarnya lebih mahal. Ketika dilancarkan pada penghujung 2024, Premium dijual dengan harga RM183,800 sementara Performance dengan harga RM199,800.

Sempena pelancarannya, 300 pembeli terawal bagi varian Dynamic akan menikmati penjimatan sebanyak RM4,000 (atau wallbox), menjadikan harganya lebih rendah dengan RM159,800. Premium pula ditawarkan dengan wallbox serta rebat overtrade RM3,888, sementara Performance dengan rebat overtrade bernilai RM2,888 dengan wallbox. Bagi pelanggan yang membuat tempahan dari 31 Julai-2 Ogos di siri jelajah BYD di One Utama, mereka juga akan menerima kredit cas sebanyak RM200.

BYD Sealion 7 Dynamic RDW 2026

BYD Sealion 7 Premium RDW 2026

BYD Sealion 7 Performance AWD 2026

Tags: