Omoda | Jaecoo Malaysia kembangkan rangkaian dengan pembukaan pusat 3S di Kulai dan Kota Bharu

Omoda | Jaecoo Malaysia terus memperkukuhkan rangkaian jualan dan servisnya di seluruh negara menerusi pembukaan rasmi dua pusat 3S baru di Kulai, Johor dan Kota Bharu, Kelantan.

Pusat 3S di Kulai dikendalikan oleh Supernova Motor dan terletak di Lot 2554, Jalan Raya, Saleng, 81400 Senai, Johor. Dibangunkan menerusi pelaburan berjumlah RM3 juta, ia merupakan pusat pengedar terbesar jenama itu di wilayah selatan.

Kemudahan dua tingkat dengan luas keseluruhan 20,419 kaki persegi itu menempatkan ruang pameran yang mampu memuatkan sehingga lapan buah kenderaan pada satu-satu masa. Selain itu, ia turut dilengkapi pusat servis dengan 12 ruang kerja yang mampu mengendalikan sehingga 1,560 kenderaan setiap bulan.

Omoda | Jaecoo Malaysia turut memaklumkan pusat ini bakal dilengkapi kemudahan badan dan cat (body and paint) yang lengkap dalam masa terdekat bagi memperluaskan lagi perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan.

Sementara itu, pusat 3S di Kota Bharu yang dikendalikan oleh Future Otto menjadi pengedar sah pertama Omoda | Jaecoo di Kelantan, sekaligus mengukuhkan kehadiran jenama itu di Pantai Timur. Terletak di Lot 1483A, Jalan Long Yunus, 15200 Kota Bharu, pusat berkenaan dilengkapi bengkel servis yang mampu menerima sehingga 650 kenderaan setiap bulan.

Menurut Ketua Omoda | Jaecoo Malaysia, Chris Tan, pembukaan kedua-dua pusat 3S baru itu mencerminkan komitmen syarikat untuk terus mengembangkan kehadiran di lokasi strategik menerusi kerjasama dengan rangkaian pengedar yang dipercayai, di samping menawarkan pengalaman pemilikan premium kepada pelanggan.

Beliau berkata, pengembangan rangkaian jualan dan selepas jualan kekal menjadi keutamaan syarikat bagi memastikan pelanggan menikmati akses yang lebih mudah serta keyakinan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

Dengan pembukaan pusat 3S di Kulai dan Kota Bharu, Omoda | Jaecoo Malaysia kini mempunyai 55 pusat pengedar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 24 cawangan terletak di wilayah tengah, 11 di selatan, 11 di utara, dua di Pantai Timur dan tujuh lagi di Sabah dan Sarawak.

IKLAN: Pandu kereta Omoda Jaecoo idaman anda dengan tawaran terbaik. Hantar butiran anda dan pengedar Omoda Jaecoo Carro akan menghubungi anda.