Polis terima dua unit Nissan Kicks e-Power untuk program penilaian operasi rondaan selama dua bulan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima dua unit Nissan Kicks e-Power daripada Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bagi menjalani Program Penilaian Proof of Concept (PoC) selama dua bulan tanpa sebarang komitmen pembelian. Sepanjang tempoh tersebut, kedua-dua kenderaan terbabit akan menjalani penilaian dalam operasi rondaan sebenar bagi menilai prestasi, praktikaliti serta kesesuaiannya untuk kegunaan operasi barisan hadapan.

Di mana progam penilaian ini memberi peluang kepada SUV segmen-B yang didatangkan dengan teknologi e-Power generasi kedua untuk menunjukkan bagaimana teknologi elektrifikasinya mampu menyokong keperluan mobiliti operasi barisan hadapan. Dilaksanakan dalam keadaan operasi sebenar, program ini akan memberikan penilaian mengenai keupayaan, kecekapan serta kebolehsuaian kenderaan dalam mengharungi kitaran tugasan yang mencabar.

“Ketika kami terus meneroka penyelesaian yang mampu meningkatkan keberkesanan operasi, adalah penting setiap teknologi baharu dinilai dalam persekitaran operasi sebenar. Program Proof of Concept ini membolehkan kami menilai prestasi, praktikaliti serta kesesuaian Nissan Kicks e-Power untuk kegunaan operasi barisan hadapan.

Polis terima dua unit Nissan Kicks e-Power untuk program penilaian operasi rondaan selama dua bulan

“Hasil penilaian ini akan menyokong usaha berterusan kami dalam mengenal pasti penyelesaian mobiliti yang paling sesuai bagi memenuhi keperluan operasi Polis Diraja Malaysia,” kata Komisioner Polis Redzuan Abd Hamid, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman.

Christopher Tan selaku Naib Presiden Eksekutif ETCM pula berkata, “Di Nissan, kami percaya inovasi terbaik ialah inovasi yang memenuhi keperluan dunia sebenar. Nissan e-Power dibangunkan untuk menjadikan pengalaman pemanduan berelektrifikasi lebih mudah diakses dengan menawarkan pengalaman pemanduan seperti kenderaan elektrik (EV), tanpa
memerlukan pengecasan luaran serta menghapuskan kebimbangan terhadap jarak perjalanan.

“Melalui program penilaian ini, kami berharap dapat melihat bagaimana Nissan Kicks e-Power mampu menyokong pelbagai aplikasi armada, termasuk bagi kegunaan perkhidmatan barisan hadapan.”

Nissan Kicks dilengkapi dengan enjin HR12DE 1.2 liter NA tiga-silinder yang menjana sebanyak 82 PS/103 Nm. Namun, kuasa enjin hanya bertindak sebagai generator untuk mengecas bateri berkapasiti 2.06 kWh yang akan menyalurkan kuasa kepada motor elektrik yang menggerakkan roda. Secara keseluruhan model ini mampu menjana kuasa sebanyak 129 PS kuasa dan tork 280 Nm. Sistem janaan e-Power ini memberikan kadar penggunaan bahan api 21.7 km/l (NEDC) dan boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 900 km dengan satu tangki penuh petrol berkapasiti 41 liter.

Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan dengan dua varian iaitu VL yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM113,800 manakala varian VLT berharga RM121,800. Pelanggan turut boleh memilih cat badan dua tona dengan bumbung hitam pada varian VLT yang berharga RM125,800.

Nissan Kicks e-Power Impul Edition