Laluan Batu Maung di Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup jam 8 mlm pada 8 Ogos hingga 3 pagi esoknya

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) memaklumkan penutupan sementara laluan dari Batu Maung menuju ke Batu Kawan (arah timur) di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau turut dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang, dari jam 8 malam pada 8 Ogos hingga 3 pagi keesokannya (9 Ogos). Ini bagi kelancaran acara larian Cultural Night Run 2026 yang akan berlangsung pada waktu berkenaan.

“Bagaimanapun, laluan dari Batu Kawan ke Batu Maung (arah barat) serta laluan dari Bandar Cassia, Batu Kawan dan Batu Kawan Industrial Park ke Lebuhraya Utara-Selatan masih boleh digunakan seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

Walau bagaimana pun, JKSB berkata, pengguna yang ingin melakukan perjalanan dari Pulau Pinang ke tanah besar sepanjang tempoh acara dinasihatkan menggunakan Jambatan Pulau Pinang.

Sehubungan dengan itu, sepanjang penutupan laluan berkenaan, JKSB turut menasihati semua pengguna lebuh raya supaya mematuhi papan tanda serta arahan yang diberikan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna.